PETALING JAYA: Reka bentuk penghadang jalan di laluan berisiko tinggi perlu dikaji agar menepati piawaian keselamatan semasa termasuk mewajibkan penggunaan ‘end terminal’ bertenaga serap pada hujung penghadang.
Cadangan itu merupakan antara lima syor utama dikemukakan Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan susulan nahas bas yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada Jun lalu.
Menurut laporan awal yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, cadangan itu merangkumi aspek infrastruktur jalan, kepatuhan operasi dan perlesenan, teknologi dan pemantauan serta tadbir urus yang strategik.
“Selain itu, papan tanda had laju, chevron (tanda sesiku keluang) dan amaran selekoh perlu dipasang dalam jarak pandangan mencukupi manakala semua penandaan jalan yang pudar perlu dibaiki atau diganti.
“Gunakan bahan retro-reflektif berintensiti tinggi bagi meningkatkan visibiliti pada waktu malam. Terdapat juga keperluan menilai pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di lokasi berisiko bagi memperkukuh pematuhan kelajuan,” kata laporan itu.
Daripada segi kepatuhan operasi dan perlesenan pula, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dicadangkan memperkukuh penguatkuasaan terhadap amalan pemajakan lesen secara tidak sah.
“Pindaan terhadap syarat pelesenan termasuk perakuan integriti dan pengenalpastian jelas antara pemegang lesen, kenderaan dan pemandu perlu dilaksanakan.
“Turut dicadangkan pelaksanaan sistem penandaan badan kenderaan yang mewajibkan paparan nombor lesen pengendali secara kekal dan jelas bagi tujuan pengesahan pantas di lapangan.
“Kementerian Pengangkutan juga disaran mengeluarkan garis panduan rasmi yang membezakan antara subkontrak operasi yang sah dan pemajakan lesen yang dilarang bagi mengelakkan kekeliruan serta manipulasi,” katanya.
Selain itu, bagi aspek teknologi dan pemantauan, kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan sistem pemantauan bersepadu untuk semua kenderaan komersial bagi membolehkan pemantauan masa nyata terhadap tingkah laku pemanduan, kelajuan, lokasi, status lesen dan pematuhan terhadap syarat operasi.
“Sistem ini perlu merangkumi integrasi teknologi seperti GPS, ‘geofencing’, sistem amaran automatik dan analisis data prestasi serta membolehkan perkongsian maklumat secara bersepadu dan proaktif dengan agensi penguat kuasa.
“Pangkalan data pemandu bersepadu yang mengandungi rekod disiplin, lesen, latihan dan sejarah kemalangan juga perlu dibangunkan dan boleh diakses oleh agensi berkaitan serta pengendali sah,” katanya.
Dari sudut tadbir urus dan strategik, laporan itu menyarankan supaya kerajaan mempertimbangkan pengembalian kuasa penguatkuasaan industri pengangkutan awam darat kepada APAD atau menubuhkan semula agensi seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi menyelaraskan pelesenan dan penguatkuasaan secara bersepadu.
“Pertimbangkan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sebagai sebuah badan siasatan bebas dan berwibawa merangkumi semua mod pengangkutan bagi memastikan siasatan kemalangan dijalankan secara profesional, objektif dan berterusan.
“Langkah ini dapat menyumbang kepada pencegahan kemalangan serta penambahbaikan keselamatan pengangkutan secara holistik dan berterusan.
“Kita juga menggalakkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pemantauan operasi seperti pengesanan corak pemanduan berisiko, ramalan kegagalan sistem dan pencegahan awal insiden melalui analisis data masa nyata,” katanya.
Bagaimanapun, pasukan itu menegaskan bahawa dapatan yang dikemukakan bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak atau menentukan liabiliti.
“Sebaliknya, dapatan dan cadangan ini bertujuan mencegah kejadian serupa daripada berulang, memperkukuh sistem keselamatan pengangkutan jalan dan melindungi nyawa serta kesejahteraan pengguna jalan raya.
“Pelaksanaan langkah keselamatan yang dicadangkan dijangka dapat menangani kelemahan yang dikenal pasti, mengukuhkan kerangka pematuhan serta menutup jurang dalam penguatkuasaan.
“Sehubungan itu, semua pihak berkepentingan diseru untuk memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan dan bekerjasama secara aktif dalam melaksanakan tindakan pembetulan yang diperlukan,” katanya. – UTUSAN