PETALING JAYA: Keadaan fizikal papan tanda amaran selekoh tajam yang usang dan permukaan jalan raya rosak dikenal pasti sebagai antara faktor yang meningkatkan risiko kemalangan di lokasi tragedi meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jun lalu.
Laporan awal Pasukan Petugas Khas oleh Kementerian Pengangkutan mendapati papan tanda jenis Chevron yang dipasang di lokasi kejadian berada dalam keadaan tidak memuaskan apabila permukaan reflektifnya didapati terhakis, mengelupas dan berkarat.
Keadaan itu menjejaskan keupayaannya untuk memantulkan cahaya dengan berkesan sekali gus mengurangkan kebolehlihatan terutama pada waktu malam atau dalam keadaan cuaca buruk.
Kegagalan papan tanda tersebut untuk berfungsi sebagai isyarat amaran awal kepada pemandu dikesan berpotensi meningkatkan risiko kehilangan kawalan khususnya ketika melalui selekoh tajam di kawasan berkenaan.
Berdasarkan laporan itu, keadaan permukaan jalan raya di seksyen tersebut juga didapati mengalami kerosakan termasuk keretakan jenis alligator cracking yang menjadikan laluan tidak rata dan membahayakan.
Permukaan jalan yang tidak sekata dan berlubang bukan sahaja menjejaskan kestabilan kenderaan, malah meningkatkan risiko keselamatan pengguna terutamanya bagi penunggang motosikal yang lebih terdedah kepada bahaya.
Kerosakan sedemikian bukan sahaja mengurangkan keselesaan pemanduan, malah turut menimbulkan risiko keselamatan kepada semua pengguna jalan raya terutama dalam situasi kecemasan seperti membrek secara mengejut atau ketika mengambil selekoh. – UTUSAN