LONDON: Penjaga gol, James Trafford menandatangani perjanjian untuk kembali ke Manchester City dari Burnley, umum kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semalam.
City mengaktifkan klausa pembelian semula bernilai 27.5 juta pound (RM155 juta) untuk pemain antarabangsa England itu, menurut laporan media Britain.
Trafford, yang tidak pernah bermain untuk pasukan utama City semasa tempoh pertamanya di Stadium Etihad meninggalkan kelab itu untuk menyertai Burnley pada 2023.
Dia bergelut pada musim pertamanya apabila Burnley tersingkir daripada EPL tetapi menyamai rekod bola sepak England dengan 29 perlawanan tanpa bolos musim lalu untuk membantu Burnley kembali ke liga utama.
“Inilah tempat yang saya panggil rumah, ia adalah kelab bola sepak yang benar-benar istimewa dengan orang-orang hebat yang menjadikannya tempat yang unik untuk bekerja dan bermain.
“Saya masih muda dan lapar untuk terus belajar dan berkembang dan saya tahu tiada persekitaran yang lebih baik daripada Manchester City untuk membantu saya menjadi penjaga gol terbaik yang saya boleh jadi.
“Saya akan lakukan segala yang saya mampu untuk membantu kelab hebat ini mencapai lebih banyak kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan.- AFP