‘Tingginya Menyapu Awan’ dipentaskan semula

‘Tingginya Menyapu Awan’ dipentaskan semula

PEMENTASAN teater Tingginya Menyapu Awan di Auditorium DBP, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah teater ‘Tingginya Menyapu Awan’, Dr. Marlenny Deenerwan percaya naskhah tulisan Malina Manja yang pernah memenangi Hadiah Karya Sastera 1975 masih relevan untuk dipentaskan.

Marlenny berkata, walaupun skrip tersebut ditulis pada 70-an, namun isu yang dibincangkan masih malar segar kerana menyentuh  masyarakat setinggan dan persoalan kemanusiaan. 

“Dalam sejarah penulisan skrip drama Malaysia, Tingginya Menyapu Awan merupakan pemenang Hadiah Karya Sastera (kini Hadiah Sastera Perdana Malaysia) kategori drama pentas. 

“Ketika itu, Malina sudah berkarya selama 10 tahun. Namun, panel juri melaporkan ini adalah skrip terbaik tulisannya sepanjang hajat walaupun naskhahnya yang paling popular adalah ‘Ayam Jantan Ayam Betina’

“Dengan reputasi cemerlang ini, saya percaya ia masih relevan untuk diuji di atas pentas,” katanya.

Marlenny ditemui Utusan Malaysia sejurus pementasan teater Tingginya Menyapu Awan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, baru-baru ini. 

Mengulas berkenaan proses menjelmakan naskhah itu ke pentas, Marlenny mengakui sedikit mencabar kerana perlu bermain dengan  tema eksistensialisme dan realisme sosial.

“Kami ambil masa sebulan untuk buat persiapan. Sejak tahun 70-an, naskhah ini hanya pernah dipentaskan tiga kali. Kali terakhir di sebuah universiti pada 2013.

“Pendek kata, kami tidak banyak rujukan. Jadi saya amat berhati-hati kerana ia karya yang absurd, bermain dengan persoalan hidup dan Tuhan. 

“Namun, isu yang dimainkan masih boleh dirasai sehingga kini tentang kewujudan diri, golongan gelandangan dan hak perempuan,” katanya.

Teater itu dibawakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL), Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya dengan kerjasama DBP.

Tingginya Menyapu Awan dipentaskan tiga hari bermula 25 Julai lalu. Turut sama menjayakan teater ini ialah Jay Iswazir, Hazzy Alzeeq, Nik Aqil, Nain Hamdan, Adli Shinichi, Farhana Fahizam, Aizy Ezmi dan Azhar Ja’a. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN