Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) mencatatkan angka yang tertinggi tahun ini dengan peningkatan kes lebih tiga kali ganda (99,601 kes) setakat ini berbanding 27,236 kes pada tempoh sama, tahun lalu.
HFMD berpunca daripada virus. Ia kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak terutamanya berusia kurang daripada lima tahun. Kebiasaannya, kanak-kanak yang menghidapnya akan mempunyai simptom demam, ulser di mulut dan ruam pada tangan dan kaki.
Ia berpunca daripada virus keluarga enterovirus terutamanya Enterovirus A71 (EV-A71) dan Coxsackievirus A16 (CA16). Virus EV-A71 juga adalah virus yang menyebabkan penyakit HFMD Malaysia pertama besar-besaran yang berlaku di Sarawak pada 1997 sehingga meragut nyawa 30 pesakit.
Penyakit ini merebak melalui sentuhan langsung dengan cecair badan seperti air liur, najis, cecair dari ruam atau titisan daripada batuk dan bersin.
Pengerusi I-Medik Kuala Lumpur yang juga Pakar Perubatan Kanak-Kanak dan Remaja, Dr. Mohd. Faizul Amer berkata, walaupun terdapat beberapa jangkitan HFMD berlaku dalam kalangan dewasa, kanak-kanak lebih terdedah kepada jangkitan kerana dua faktor utama iaitu dalaman dan luaran.

“Faktor dalaman membabitkan kekuatan sistem imuniti bagi yang di bawah lima tahun. Pada usia ini, daya ketahanan adalah lebih rendah dan boleh menyebabkan jangkitan lebih serius dengan gejala yang lebih ketara manakala faktor luaran luaran pula membabitkan persekitaran yang memainkan peranan penting dalam tahap kekerapan jangkitan HFMD. Kebanyakan kanak-kanak kini dihantar di pusat asuhan dan taska yang padat dengan
kanak-kanak dan meningkatkan lagi risiko jangkitan, “katanya.
Tanda-tanda dan gejala
Tanda-tanda awal bagi HFMD antaranya demam, sakit tekak, kurang selera makan dan kurang aktif. Kemudian, selepas satu atau dua hari mengalami demam, ruam akan mula timbul terutamanya di tangan dan kaki.
“Kebanyakan kanak-kanak juga mengalami gejala ulser atau ‘mata ikan’ di sekitar bibir, mulut dan lidah. Bagaimanapun, terdapat gejala lain, bergantung kepada jenis virus yang menyebabkan jangkitan serta variasi imuniti berbeza antara kanak-kanak.
“Gejala ini kebiasaannya boleh mula diperhatikan antara tiga hingga enam hari selepas mempunyai kontak rapat dengan pesakit bergejala HFMD. Gejala HFMD berbeza antara pesakit. Secara umumnya, gejala HFMD boleh diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu tipikal dan tidak tipikal,” katanya.
Gejala tipikal adalah demam, ruam di tangan dan kaki serta ulser di bibir dan mulut. Kebiasaanya gejala ini ringan dan tidak memerlukan rawatan spesifik melainkan memastikan pesakit dapat makan dan minum dengan cukup.
Gejala tidak tipikal antaranya radang jantung, paru-paru bengkak, radang saraf dan otak serta radang hati. Gejala ini boleh menyebabkan kehilangan fungsi organ utama seperti jantung, paru-paru dan saraf yang boleh menyebabkan kematian.
“Walaupun kebanyakan kanak-kanak yang mengalami jangkitan HFMD dilaporkan mengalami gejala ini, terdapat juga sebilangan yang tidak menghadapi apa-apa gejala walaupun terkena jangkitan,” katanya.
Secara umumnya, gejala ringan biasanya mengambil masa satu hingga dua minggu untuk sembuh sepenuhnya. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mengalami jangkitan dengan gejala serius mungkin memerlukan masa lebih lama untuk kembali pulih.
Kaedah rawatan
Secara umum, kanak-kanak yang menghidapi HFMD dengan gejala ringan tidak memerlukan rawatan spesifik. Rawatan sokongan seperti pengambilan ubat demam dan penggunaan ubat sapu atau semburan diberikan untuk melegakan kesakitan ulser di mulut.
“Ibu bapa juga perlu memantau kadar pengambilan air anak dan jika kadar pengambilan air adalah kurang daripada 2/3 pengambilan biasa, kanak-kanak perlu dibawa berjumpa doktor untuk rawatan air intravenous (intravenous fluid) bagi mengelakkan dehidrasi.
“Kebanyakan kes HFMD terutama dengan jangkitan ringan boleh dipantau dan dirawat di rumah. Namun, kemasukan ke hospital diperlukan jika mengalami komplikasi seperti dehidrasi, muntah berterusan, sawan atau tanda-tanda jangkitan sistem saraf,” katanya.
Bagaimanapun katanya lagi, penting untuk ibu bapa dan doktor tahu terdapat beberapa petanda yang boleh menunjukkan kanak-kanak berisiko menghidapi jangkitan HFMD teruk dan kritikal.
Antaranya demam tinggi berpanjangan, gejala neurologi seperti sawan, gejala membabitkan masalah pernafasan, peredaran darah terganggu seperti nadi lemah dan tekanan darah rendah serta kandungan gula dan laktik asid dalam darah yang tinggi.
Kebersihan dan pengasingan
Amalan mencuci tangan dengan betul, menutup mulut ketika bersin, disinfeksi permukaan yang tercemar dan tidak menghantar anak ke taska atau sekolah jika bergejala adalah langkah penting untuk mencegah penularan penyakit.
Ibu bapa juga dinasihatkan untuk mengelakkan membawa kanak-kanak di bawah lima tahun ke tempat yang padat dengan orang ramai. Memilih pusat asuhan dan taska yang tidak padat juga boleh mengurangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit secara umum.
“HFMD boleh berulang kerana terdapat pelbagai jenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan. Pencegahan melalui kebersihan diri yang konsisten dan pengawasan kesihatan anak-anak boleh mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.
Menurutnya lagi, faktor ketiadaan vaksin HFMD di negara ini juga mempengaruhi kekurangan imuniti komuniti kanak-kanak. Buat masa ini, vaksin HFMD hanya boleh didapati di negara tertentu bukan di Malaysia. Vaksin yang ada hanya melindungi kanak-kanak daripada jangkitan virus EV71 dengan kadar keberkesanan 97.4 peratus. Vaksin ini hanya melindungi kanak-kanak daripada sejenis virus sahaja.
Vaksin yang boleh melindungi manusia daripada jangkitan beberapa virus HFMD sudah dicipta tetapi masih dalam proses ujian pada haiwan dan belum diisytihar selamat untuk penggunaan manusia. – UTUSAN










