Tiada ‘u-turn’ pelaksanaan had baharu usia belia 30 tahun

Tiada ‘u-turn’ pelaksanaan had baharu usia belia 30 tahun

HANNAH Yeoh ketika ditemui pemberita pada Majlis Pembukaan ASEAN Youth Volunteer Forum 2025 di Auditorium Sasana Kijang di sini hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak berpatah balik atau u-turn terhadap pelaksanaan had baharu umur belia kepada 30 tahun bermula 1 Januari 2026 di sebalik gesaan beberapa pihak supaya dasar itu dikaji semula.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan tersebut telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri selepas perbincangan panjang lebar sejak tahun 2019.

“Kita sudah bincang lama dan kabinet telah buat keputusan bahawa pelaksanaan akan tetap bermula 1 Januari 2026.

“Kini kita ada tempoh enam bulan untuk bersedia. Saya tidak mahu ada lagi patah balik, kerana kita sudah terlalu banyak u-turn sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas pelancaran ASEAN Youth Volunteer Forum, di sini hari ini.

Semalam, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar kerajaan menangguhkan pelaksanaan had umur belia itu kerana dikhuatiri memberi kesan terhadap masa depan kepimpinan pertubuhan belia di negara ini.

Di samping itu, mereka mahu had umur belia di negara disemak semula dan dinaikkan kepada 35 tahun selaras dengan keperluan pembangunan belia luar bandar sebagai satu langkah memastikan kelangsungan kepimpinan golongan berkenaan terpelihara.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa ketetapan had umur 30 tahun belia berbanding 40 tahun dikuatkuasa mulai 1 Januari 2026, selepas ditunda sebanyak dua kali setelah kelulusan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602].

Pindaan itu antara lain melibatkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun sahaja.

Hannah berkata, dalam tempoh enam bulan ini, tumpuan kini perlu diberikan sepenuhnya terhadap persediaan dan bantuan kepada semua pihak yang terlibat agar peralihan ini berjalan lancar.

“Kita perlu ke hadapan, bukan ke belakang. Fokus kita ialah melatih dan memperkasakan golongan belia dengan kemahiran dan peluang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN