PETALING JAYA: Tarikh pendengaran dan sebutan kes permohonan lucut hak Menara Ilham yang dikaitkan dengan aset dimiliki bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin ditetapkan Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos depan.
Bahagian Komunikasi Strategik, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, SPRM memohon melucut hak bangunan berkenaan pada 25 Mei lalu di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
Katanya, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib telah membenarkan permohonan itu.
“Pada tarikh yang sama, proses pemfailan kes baharu permohonan lucut hak Menara Ilham di bawah sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga telah diluluskan,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, SPRM akan bekerjasama dengan agensi luar negara di Amerika Syarikat turut dilaksanakan bagi mendapatkan bantuan bagi pemfailan kes terhadap aset-aset kepunyaan Daim dan isteri serta proksinya di sana.
Pada bulan lalu, Menara Ilham disita sekali lagi oleh SPRM selepas agensi penguat kuasa itu mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita bangunan yang dikaitkan dengan Daim.
SPRM berkata, sitaan itu adalah berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh 4 Jun 2025. – UTUSAN