PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melepasi halangan getir selepas berjaya menyingkirkan Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dari Indonesia pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.
Sze Fei-Izzuddin mengambil masa hampir sejam sebelum beroleh kejayaan menundukkan beregu yang baru dipecah ganding tersebut dalam aksi yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 21-13, 17-21, 22-20 di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Bagaimanapun, hasrat untuk melihat dua wakil Malaysia bertembung sesama sendiri di separuh akhir tidak kesampaian apabila Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong terkandas di peringkat lapan terbaik.
Gandingan yang menghuni ranking ke-26 dunia itu tumpas di tangan wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-18, 23-25, 17-21 dalam masa 1 jam 8 minit.
Ini bermakna Sze Fei-Izzuddin bakal berdepan Kuang Heng-Po Han yang merupakan beregu ke-24 dunia di separuh akhir.
Pasangan No. 1 Malaysia itu merupakan wakil negara keempat yang berjaya menjejakkan kaki ke separuh akhir pada kejohanan berstatus Super 750 tersebut.
Tiga lagi wakil Malaysia yang kesemuanya dalam sektor beregu iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Pearly Tan-M. Thinaah dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terlebih dahulu mara ke separuh akhir, esok. – UTUSAN