PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mengulangi pencapaian musim lalu mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.
Juara bertahan itu tidak berdepan masalah membenam beregu No. 24 dunia, Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan 21-19, 21-11 dalam masa 35 minit pada separuh akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti wakil Malaysia itu apabila beregu yang sedang berada pada prestasi terbaik, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan menanti mereka pada final, esok.
Dalam satu lagi separuh akhir yang berlangsung lebih awal, Won Ho-Seung Jae yang merupakan gandingan No. 3 dunia menewaskan beregu Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-14, 21-15 dalam masa 38 minit.
Menjelang perlawanan akhir, esok, menyorot kepada rekod pertemuan antara Sze Fei-Izzuddin dan Won Ho-Seung Jae, kedua-dua beregu tersebut terikat dengan keputusan 1-1.
Sze Fei-Izzuddin pernah menundukkan Won Ho-Seung Jae 21-15, 13-21, 21-16 pada perlawanan akhir Terbuka India, Januari lepas.
Namun begitu, Won Ho-Seung Jae berjaya membalas dendam ke atas beregu No. 1 Malaysia itu di peringkat 16 terbaik menerusi kemenangan 21-16, 21-13 pada All England, Mac lalu.
Peluang boleh dikatakan agak seimbang buat Sze Fei-Izzuddin untuk mempertahankan gelaran pada Terbuka Jepun, tetapi, mereka perlu mengelak daripada melakukan sebarang kesilapan berdepan Won Ho-Seung Jae.
Mendapat jolokan pasangan sempurna dalam sain beregu lelaki, Won Ho-Seung Jae memiliki senjata yang cukup ampuh menerusi pukulan smash kencang, permainan pantas dan juga tahap kecergasan yang berada di tahap terbaik.
Jika Sze Fei-Izzuddin mampu mengatasi kekangan tersebut, maka, tidak mustahil gelaran kedua di Tokyo bakal berada di dalam genggaman mereka, esok. – UTUSAN