Suhardi terima gelaran Datuk

Suhardi terima gelaran Datuk

Suhardi Alias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias dikurniakan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Anugerah tersebut disampaikan sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-84 Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib, semalam.

Suhardi berkata, anugerah tersebut amat bermakna dalam kerjayanya sebagai kakitangan kerajaan malah turut mendedikasikannya kepada semua yang turut sama berusaha demi memartabatkan sukan di Malaysia.

“Saya benar-benar berasa terhormat dengan pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan hanya untuk saya. Ia adalah untuk semua yang bekerja tanpa jemu demi memperkukuh sukan Malaysia.

“Ia menjadi motivasi untuk kami terus memperbaiki cara kami berkhidmat kepada rakyat dan menyokong para atlet,” kata Suhardi yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan pada 15 Ogos 2023 menggantikan Ibrahim Mohd Yusof.

Suhardi memiliki pengalaman 32 tahun dalam bidang pengurusan dan sains sukan mula berkhidmat di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 1 April 1991.

Selain menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pembangunan Sukan), Suhardi turut pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Penarafan Persatuan Sukan Kebangsaan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 2009.

Selain itu, beliau juga adalah pengerusi dan pelopor Kursus Pengurusan Sukan Kebangsaan serta penggubal dan tenaga pengajar Kursus Sains Sukan Kebangsaan dan terbabit dalam penyediaan “Road Map” Industri Sukan Negara.

Beliau juga terbabit dalam penyediaan Visi Sukan Negara 2030.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN