SWANSEA: Bintang rap Amerika Syarikat (AS), Snoop Dogg menambah satu lagi portfolio luar biasa apabila kini bergelar pelabur kelab Liga Kejuaraan England, Swansea City.
Lebih mengujakan, penyanyi berusia 53 tahun itu menyertai pemilik bersama seperti bintang tengah Croatia, Luka Modric dalam struktur pemilik kelab yang berpangkalan di Wales tersebut.
“Saya memang sukakan bola sepak, tetapi ini istimewa kerana saya memulakan langkah pemilik kelab dengan Swansea City.
“Kisah kelab ini dan komuniti sekeliling sangat menyentuh hati saya. Ini adalah kelab bandar pekerja, penuh semangat ‘underdog’ yang bangkit semula, macam saya juga,” katanya Snoop.
Snoop sebelum ini menjadi tumpuan apabila tampil melancarkan jersi baharu pasukan itu, mencetuskan spekulasi penglibatan lebih besar yang akhirnya disahkan semalam.
Kelab itu dijangka mendapat manfaat besar daripada pengaruh global Snoop yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan jenama Swansea ke peringkat antarabangsa.
Swansea yang kini dibelenggu masalah kewangan dengan kerugian pra-cukai £15.2 juta Pound (RM86.6 juta) musim lalu turut berharap sentuhan selebriti ini membantu membina skuad lebih kompetitif musim depan. – AGENSI