PETALING JAYA: Sistem kehakiman negara perlu bebas dengan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada dalaman mahupun luaran.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, individu dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak bukan sahaja perlu berkeupayaan, malah mesti memiliki integriti moral tinggi untuk melaksanakan amanah ini.
“Tiga cabang kerajaan, Kehakiman, Eksekutif dan Legislatif wujud untuk saling mengimbangi antara satu sama lain, memastikan tiada satu cabang pun beroperasi tanpa tanggungjawab.
“Badan kehakiman yang bebas merupakan benteng penting dalam mengekang sebarang penyalahgunaan kuasa oleh pihak Eksekutif, Kabinet dan kerajaan secara keseluruhannya.
“Begitu juga, keputusan mahkamah akan menegur Parlimen sekiranya undang-undang yang zalim dan tidak berperlembagaan diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan.
Nurul Izzah berkata, pada masa ini, terdapat dakwaan wujudnya campur tangan dalam badan kehakiman dan dikuatkan dengan adanya laporan polis selain dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).
“Adalah penting agar dakwaan ini disiasat bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman kita.
“Siasatan boleh dimulakan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan melalui penubuhan tribunal bebas yang dianggotai sekurang-kurangnya lima orang hakim kanan.
“Tindakan sebegini akan membantu memelihara keyakinan rakyat terhadap sistem kita,” katanya.
Nurul Izzah menegaskan, penyalahgunaan kuasa yang berlaku sebelum ini bermula pemecatan Tun Salleh Abbas sehinggalah pendedahan mengenai video VK Lingam, telah membangkitkan tekad untuk memastikan kebebasan badan kehakiman hari ini kekal terpelihara.
“Dalam semangat reformasi dan keadilan yang menjadi asas perjuangan PKR, kita perlu menambah baik struktur sedia ada dengan menjadikannya lebih telus,” katanya.
Nurul Izzah berkata, penyertaan beliau dalam perhimpunan anjuran Badan Peguam Malaysia bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan ia selaras dengan hak dijamin Perlembagaan Persekutuan serta diiktiraf Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN










