PELANCARAN roket oleh syarikat SpaceX berhampiran Pantai Bagdad di utara Tamaulipas, Mexico turut menggugurkan ratusan serpihan yang mencemarkan kawasan sekitar serta lokasi perlindungan penting bagi spesies penyu laut terancam.
Sejak November 2024, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Conibio Global memikul tugas berat membersihkan sisa pelancaran yang mendarat di kawasan tersebut, termasuk kepingan plastik cair, aluminium, getah, paip logam, pelekat biru dan bahan lain yang dipercayai datang dari roket SpaceX.
Menurut Pengasas Conibio Global, Jesus Elias Ibarra, beliau menyaksikan sendiri pelancaran SpaceX pada November lalu, termasuk insiden di mana penggalak roket jatuh ke Teluk Mexico.
Katanya, ketika itu, pasukan dari SpaceX tiba dengan tiga helikopter dan lebih 10 bot untuk mengambil semula komponen tersebut dalam masa beberapa jam.

Namun, semasa pelancaran lain pada Mei, Ibarra mendakwa jutaan partikel kecil yang gugur dibiarkan hingga mencemari kawasan Mexico.
“Dalam jarak 500 meter, kami mengutip lebih satu tan sisa. Antara bahan yang ditemui termasuk plastik keras dan span, getah seperti gabus, aluminium bertanda SpaceX, pembalut gelembung dan paip keluli tahan karat.
“Bahan ini boleh dimakan oleh penyu spesies Kemp’s ridley, yang membiak di pantai ini. Kami hanya sebuah kumpulan kecil, mustahil untuk bersihkan semuanya,” katanya.
Jelas beliau, sisa itu kemudian diserahkan kepada Agensi Perlindungan Alam Sekitar Mexico, (PROFEPA).
CNN menghubungi SpaceX berkenaan isu ini dan syarikat itu merujuk kepada kenyataan media sosial mereka bertarikh 26 Jun, menyatakan pihaknya ada menawarkan bantuan pembersihan dan meminta kerjasama pihak berkuasa Mexico.
SpaceX juga mendakwa ujian menunjukkan tiada risiko toksik atau biologi daripada serpihan roket mereka.
Namun, Ibarra menyatakan Conibio tidak pernah dihubungi secara langsung oleh SpaceX malah, mendakwa pernah diganggu oleh dron milik SpaceX semasa menjalankan kerja-kerja pemantauan.
Lebih membimbangkan, Ibarra yang juga doktor haiwan dan Pengarah Program Penyu Marin berkata, getaran yang dihasilkan oleh roket itu memampatkan pasir di mana terdapat sarang penyu, sekali gus menyukarkan haiwan itu untuk keluar.

Katanya, pihak mendapati sekurang-kurangnya 300 anak penyu mati kerana gagal keluar dari sarangnya.
Letupan roket terbaharu pada 19 Jun lalu juga menyebabkan serpihan besar dikesan di wilayah Mexico keesokan paginya.
Susulan itu, pegawai kerajaan Mexico turun padang dan mengambil sebahagian sisa, termasuk tangki sepanjang empat meter dan paip seberat kira-kira lima kilogram.
Kesan letupan didapati turut membakar tumbuhan di sepanjang Sungai Rio Bravo dan merosakkan beberapa pokok berhampiran penempatan penduduk.
Terdapat juga laporan kerosakan kecil pada rumah-rumah di kawasan sempadan akibat gegaran.
Jelas Ibarra, pihaknya terpaksa menanggung kos operasi berjumlah lebih AS$26,000 (RM110,442) untuk melaksanakan pemantauan dan kerja-kerja pembersihan pantai akibat pencemaran tersebut.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum mengakui terdapat pencemaran akibat pelancaran roket dan menyatakan kerajaannya sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan perjanjian antarabangsa.
SpaceX menegaskan semua serpihan adalah milik mereka dan mendakwa usaha pengambilan semula diganggu oleh pihak yang menceroboh tanah persendirian, satu kenyataan yang kini sedang disemak oleh pihak berkuasa Mexico.
Walaupun serpihan besar sudah dikutip, Ibarra berkata, ribuan sisa kecil masih tertanam di dalam pasir akibat ombak.
“Ia masih ada di situ, cuma tidak kelihatan kerana ditimbus air yang pasang surut. Namun ia tetap perlu dibersihkan,” tegasnya. – UTUSAN










