RM250,000 penentu pelumba TSG ke Sukan SEA 2025

RM250,000 penentu pelumba TSG ke Sukan SEA 2025

Barisan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) yang menyertai perlumbaan di China pada Jun lalu- IHSAN TSG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut pemilihan atlet berbasikal lebuh raya ke temasya Sukan SEA Thailand 2025 semakin panas apabila pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) memberi bayangan untuk menarik diri sekiranya permintaan dana mereka tidak dipenuhi.

Pasukan profesional itu memerlukan kira-kira RM250,000 bagi persiapan rapi menjelang Sukan SEA Thailand, namun mendakwa tiada komitmen diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selepas pertemuan awal bulan ini.

Lebih merumitkan, MSN didakwa hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan RM196,000 yang kini berada dalam jagaan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sekali gus jumlah yang dianggap tidak relevan mengikut kos semasa.

Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus menyatakan kekesalan apabila MSN hanya membenarkan mereka menggunakan peruntukan lama yang kini dianggap tidak mencukupi.

“MSN mahu kami guna sahaja bajet yang diberi kepada PKBM, tetapi bagi kami ianya langsung tidak mencukupi untuk membina pasukan kompetitif ke Sukan SEA.

“Bajet melatih atlet kini tidak sama seperti lima atau 10 tahun lalu, kami perlukan sekurang-kurangnya RM250,000 termasuk latihan, pendedahan perlumbaan dan kem akhir di Thailand.

“Kami enggan memberi komitmen untuk menghantar pelumba ke Sukan SEA setakat ini. Sekiranya tiada jawapan positif dari MSN dan PKBM hujung bulan ini, kami tidak akan menghantar pelumba ke Sukan SEA,” kata Nasiruddin kepada Utusan Malaysia.

TSG turut menegaskan bahawa dana penaja mereka sepatutnya untuk perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan bukannya diguna bagi menampung program negara yang sewajarnya diurus oleh MSN serta PKBM.

Paling mengejutkan, tiada sebarang komitmen diberikan untuk menyertai Sukan SEA selagi isu ini tidak diselesaikan, sekali gus mengancam kesinambungan dominasi Malaysia dalam acara jalan raya sejak edisi 2015.

Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan Pengarah Sukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahit mendedahkan MSN menolak permintaan pasukan profesional itu untuk pembelian basikal ujian masa baharu yang berharga RM80,000 seunit.

Sayuti bagaimanapun melaungkan amaran kepada MSN untuk menarik diri dari Sukan SEA sekiranya tidak mendapat berita positif dari badan induk berkenaan, bulan depan.

PKBM yang dilihat sebagai orang tengah akhirnya bersuara menerusi Setiausaha Agungnya, Ahmad Arif Astaman yang berkata badan induk itu akan menyenaraikan pelumba dari dua pasukan profesional itu berdasarkan prestasi dan data semasa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN