Program di Kelantan sesi turun padang - Majlis AIDS 

Program di Kelantan sesi turun padang – Majlis AIDS 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program didakwa pesta `gay’ di Kota Bharu, Kelantan merupakan sesi turun padang atau outreach bagi mendekati komuniti berisiko tinggi HIV, sebelum diserbu pihak polis.

Majlis AIDS Malaysia berkata, program itu mendapat kerjasama Klinik Kesihatan Kota Jembal dan antara pendekatan strategik diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan HIV yang lebih relevan, inklusif dan berpusat kepada komuniti.

Katanya, antara perkhidmatan disediakan termasuk taklimat berkaitan risiko jangkitan HIV, kaedah pencegahan dan rawatan antiretroviral (ARV) yang berfungsi merawat HIV, dan mengelakkan penularan.

“Majlis terebut bermula dari pukul 8 malam hingga 2 pagi itu menghimpunkan lebih 70 klien dalam kalangan komuniti berisiko tinggi bagi mendapatkan pelbagai khidmat berkaitan kesihatan.

“Program ini diadakan di luar waktu pejabat bagi memberi peluang kepada individu yang bekerja untuk turut serta dan menerima manfaat daripada perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Majlis AIDS, saringan HIV berasaskan komuniti juga dijalankan secara sulit dan profesional dengan setiap proses mengambil masa antara 10 hingga 15 minit.

“Keseluruhan sesi dijalankan selama hampir enam jam, sehingga melepasi tengah malam bagi memastikan kesemua 70 klien menerima saringan dan kaunseling sewajarnya,”  katanya.

Katanya, bagi klien yang didapati mempunyai keputusan reaktif, kaunseling ringkas turut diberikan oleh pegawai perubatan di lokasi dan mereka dirujuk ke Klinik Kesihatan untuk rawatan lanjut.

“MAC amat menghargai komitmen dan kerjasama petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Kota Jembal dalam menjayakan sesi ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan serbuan polis ke atas satu perhimpunan membabitkan hampir 100 individu di sebuah rumah banglo di Kemumin yang disyaki melibatkan komuniti LGBT termasuk rampasan kondom dan ubat berkaitan HIV. 

Polis Kelantan mengesahkan menyerbu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melibatkan lebih 20 lelaki tempatan di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin di sini pada pertengahan Jun lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam dan risikan pasukan khas selepas menerima aduan mengenai penganjuran pesta makan-makan yang dipercayai dikhaskan untuk golongan gay. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN