PETALING JAYA: Siasatan masih dijalankan polis bagi mengetahui motif sebenar penyanyi legenda tanah air menyerang penyanyi popular, Shila Amzah ketika latihan untuk sebuah konsert di Stadium Merdeka, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, motif individu terbabit berbuat demikian masih dalam siasatan dan rakaman percakapannya belum diambil.
Menurutnya, setakat ini baru dua saksi yang dirakam percakapan sementara yang lain sedang diuruskan.
“Kertas siasatan juga sedang dilengkapkan dan siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis merakam keterangan dua individu berhubung kejadian serangan terhadap penyanyi terkenal, Shila Amzah.
Shila membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wang, kelmarin mendakwa dirinya diserang secara terbuka oleh seorang artis legenda ketika sesi latihan konsert. – UTUSAN