LONDON: Perpindahan Viktor Gyokeres ke Arsenal boleh menemui jalan buntu menurut laporan media Portugal.
Menurut portal Portugal, Record, terdapat perselisihan faham berkaitan dengan bonus yang ditawarkan kepada pemain itu.
Sporting dilaporkan menuntut 8.7 juta pound (RM49 juta) dalam bentuk bonus yang mana Arsenal dikatakan keberatan untuk memasukkannya di samping yuran perpindahan sebanyak 62.4 juta pound (RM355 juta).
Presiden Sporting, Frederico Varandas menolak tawaran terakhir Arsenal sebanyak 60 juta pound (RM341 juta) secara keseluruhan untuk mendapatkan Gyokeres.
Kelab itu turut memberi amaran bahawa Arsenal tidak akan mendapatkan pemain antarabangsa Sweden itu melainkan mereka menaikkan tawaran dan menjanjikan jumlah bayaran pendahuluan yang lebih tinggi sebagai sebahagian daripada struktur bidaan.
Kedua-dua kelab kini dilaporkan hampir mencapai persetujuan dengan perjanjian bernilai 55 juta pound (RM313 juta) sebagai bayaran awal serta tambahan 7.4 juta pound (RM42 juta) dalam bentuk tambahan manakala Gyokeres telah bersetuju dengan kontrak selama lima tahun.
Arsenal berharap perpindahan itu dapat dimuktamadkan tepat pada masanya bagi membolehkan Gyokeres terbang ke Asia untuk menyertai jelajah pramusim pada hujung minggu ini. – AGENSI