MIC Pahang kekal sokong BN Pahang hingga habis penggal 

MIC Pahang kekal sokong BN Pahang hingga habis penggal 

V. ARUMUGAM ketika berucap pada majlis sambutan Deepavali anjuran MIC Paya Besar di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: MIC Pahang menyatakan komitmen kekal menyokong Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga habis penggal.

Pengerusinya, V. Arumugam berkata, walaupun perwakilan MIC sebulat suara menyokong resolusi menamatkan penyertaan parti tersebut dalam gabungan BN pada Perhimpunan Agung MIC Ke-79 16 November lalu, keputusan tersebut belum muktamad.

“Perkara ini sudah pun dijelaskan oleh Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran bahawa keputusan akhir berkaitan usul tersebut dibuat ahli Mesyuarat Kerja Pusat (CWC) parti.

“Saya pun ada dalam CWC dan kita belum mengadakan mesyuarat bagi membincangkan lebih lanjut tentang usul berkenaan.

“Berhubung usul ketika mesyuarat minggu lalu, saya sudah maklumkan kepada Datuk Seri Wan Rosdy, saya akan terus menyokong BN Pahang hingga penggal ini berakhir. Ini kerana saya bertanding dan menang di Sabai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atas tiket BN,” katanya ketika ditemui semasa majlis sambutan Deepavali anjuran MIC Paya Besar di sini, malam semalam.

Arumugam yang juga wakil tunggal MIC Pahang semasa PRU15, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai dalam pertandingan tiga penjuru. Dia menewaskan penyandang kerusi itu, D. Kamache (DAP) dengan majoriti 96 undi. 

Beliau berkata, dia adalah ‘orang parti’ dan akur jika CWC memutuskan untuk keluar daripada BN. 

Bagaimanapun, beliau memaklumkan MIC Pahang tidak pernah mengadakan pertemuan dengan wakil Perikatan Nasional (PN) Pahang bagi membincangkan hala tuju parti tersebut. 

“Tiada (pertemuan) dengan PN, kalau setakat jumpa ketika sidang DUN itu, biasalah tetapi untuk berbincang, memang tidak pernah. Saya pun masih bersama (menyokong) BN kerana kerajaan negeri banyak bantu (MIC Pahang). 

“Jadi, saya fikir apa yang Presiden (MIC) cakap mengenai ADUN yang menang guna tiket BN, kekal (sokong BN) sampai habis penggal, itu sudah cukup jelas,” ujarnya.

Menurutnya, usaha untuk memulihkan hubungan antara MIC dan UMNO sedang berjalan dan beliau menyambut baik kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. 

“Saya mengikuti perkembangan isu atau kemelut yang berlaku ini dan saya ada membaca kenyataan Tok Mat (Mohamad Hasan) dan Zambry. Mungkin lepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah, kita boleh duduk semeja dan minum kopi bersama untuk membincangkan hal ini dengan lebih teliti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN