Penuntut UiTM bantu pelajar Orang Asli kuasai teknologi AI - Utusan Malaysia

Penuntut UiTM bantu pelajar Orang Asli kuasai teknologi AI

PENUNTUT Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi bimbingan kepada kanak-kanak dan remaja yang teruja dengan permainan berkaitan teknologi AI pada Program Sengoi Pintar: AI Bersama Komuniti Orang Asli di Tapah, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 500 masyarakat Orang Asli sekitar Tapah terutamanya pelajar didedahkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai mekanisme yang membantu mereka dalam kehidupan seharian pada Program Sengoi Pintar: AI Bersama Komuniti Orang Asli di Resort Kuala Woh, Tapah, Perak baru-baru ini.

Sengoi merujuk kepada individu dalam bahasa suku kaum Semai sementara pintar menggambarkan kebijaksanaan dan potensi yang dimiliki masyarakat tersebut. Lebih menarik, program keilmuan itu dicetuskan oleh 31 penuntut tahun akhir jurusan Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada masyarakat luar bandar, khususnya suku kaum Semai terhadap penggunaan AI.

Seorang peserta, Zeti Asami, 20, berkata, program inovatif tersebut sememangnya banyak memberi manfaat kepadanya kerana didedahkan kepada teknologi AI yang sebelum ini jarang diaplikasikan dalam kehidupan.

“Saya menetap di Kampung Orang Asli (KOA) Batu 7, Tapah dan bekerja sebagai pembantu di sebuah restoran berhampiran rumah keluarga. Pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Apabila didedahkan dengan teknologi ini ternyata ia memudahkan dan membolehkan saya mereka menu makanan dan minuman, poster selain membantu operasi restoran majikan,” katanya kepada Utusan Pelajar ketika ditemui di Tapah baru-baru ini.

Katanya, teknologi AI bersifat komprehensif dan mudah dipelajari hanya menggunakan telefon pintar dengan kebanyakan perisiannya adalah percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Saya teruja dan sekiranya berpeluang ingin menyambung pengajian dalam bidang berkaitan AI pada masa depan. Teknologi kini bukan sahaja di kota metropolitan semata-mata tetapi menjangkau di kampung.

“Ia ternyata banyak memberi manfaat dalam kehidupan yang membantu meningkatkan taraf kehidupan saya dan keluarga,” katanya.

Bagi Natasya Hausi, 14, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tapah dan menetap di KOA Sungai Chedon, Tapah, dia mendapat maklumat mengenai program itu beberapa hari sebelumnya berlangsung.

“Program ini ternyata berbeza berbanding sebelumnya kerana ia berkaitan dengan teknologi dan kami (masyarakat Orang Asli) memandang perkara tersebut amat penting dalam kehidupan supaya tidak ketinggalan dalam arus pemodenan semasa.

“Saya dapat mempelajari bagaimana AI membantu dalam mempelajari subjek tertentu di sekolah secara percuma hanya melalui hujung jari sahaja,” katanya.

Dia dapat melihat potensi kerjaya berkaitan AI sebagai karier pada masa depan yang dapat meningkatkan taraf kehidupannya serta keluarga.

Sementara itu, Louisa Jazmin Jisab, 18, yang menetap di KOA Pos Musoh Tapah berkata, ilmu berkaitan AI amat berguna padanya yang akan menyambung pengajian di sebuah institut pendidikan guru di Kuala Lumpur Ogos nanti.

“Saya sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang guru. Sepanjang bersekolah di Sekolah Menengah Air Kuning, Tapah telah didedahkan sejak awal berkaitan AI.

“Saya kerap menggunakan perisian AI melalui (aplikasi) WhatsApp berkaitan urusan peribadi dan membantu keluarga yang melibatkan diri dalam perniagaan berkaitan jualan hasil sumber hutan.

“Walaupun kampung saya terletak di kawasan yang agak berbukit itu tidak bukannya penghalang bagi kami untuk turut sama-sama mendapat limpahan pembangunan dan mengikuti arus perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ketua projek, Nur Amira Fathihah Faizal berkata, program sehari itu bertujuan memberi pendedahan asas mengenai teknologi AI sebagai usaha merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Kami ingin membuktikan menerusi pelbagai aktiviti bersudut interaktif membolehkan komuniti mendapat pengalaman langsung dalam penggunaan AI sekali gus membina kemahiran membuat keputusan yang bijak serta menggalakkan pemikiran kreatif.

“Program ini juga menekankan teknologi ini yang dapat digunakan dalam bidang pendidikan dan pembangunan perniagaan skala kecil,” katanya.

Sementara itu, pensyarah yang juga penasihat program, Abuzar Abdul Halim berkata, pendekatan program itu disampaikan secara mudah difahami serta bersesuaian dengan konteks kehidupan komuniti setempat.

“Sambutan diterima cukup mengalakkan dengan kehadiran lebih 500 pengunjung terutama remaja yang teruja dengan perisian dan aplikasi terkini.

“Ramai dalam kalangan mereka yang mempunyai telefon pintar dan kefahaman mengenai AI membolehkan menerokai ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam lagi untuk masa depan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN