Peluasan SST dijangka sumbang RM5 hingga 10 bilion

Peluasan SST dijangka sumbang RM5 hingga 10 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perluasan kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa 1 Julai lalu dijangka memberi impak besar kepada kedudukan fiskal negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Penganalisis ekonomi, Dr Abu Sofian Yaacob berkata, peningkatan itu mampu menyumbang lebih RM5 bilion setahun kepada hasil negara yang membolehkan kerajaan melaksanakan lebih banyak projek pembangunan untuk rakyat.

“Hasil cukai ini membuka ruang untuk membangunkan infrastruktur awam seperti hospital, sekolah dan jalan raya, khususnya di kawasan luar bandar.

“Ia juga membolehkan penambahbaikan perkhidmatan awam dalam sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan, selain mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Abu Sofian, pelaksanaan SST yang lebih bersasar turut memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk menyalurkan hasil cukai dalam bentuk bantuan kewangan, subsidi bersasar serta pelbagai program pembangunan sosioekonomi rakyat.

Sependapat, Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, peningkatan kutipan hasil menerusi SST ini mampu memberi pulangan sekitar RM5 hingga RM10 bilion setahun kepada kerajaan.

“Sudah tentu pungutan ini akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai bentuk manfaat.

“Antaranya ialah bantuan Sara Hidup (SARA), sokongan pendidikan, baik pulih infrastruktur komuniti seperti dewan orang ramai, penyediaan internet jalur lebar percuma, serta bas percuma di kawasan bandar.
“Ia juga menyokong kelestarian sistem pendidikan, kesihatan dan kebajikan sosial negara melalui pengembangan dasar fiskal yang lebih mampan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan masyarakat perlu mengubah tanggapan negatif terhadap SST kerana bukan semua barangan dikenakan cukai.

“Pengguna juga perlu meluangkan masa memahami aspek pelaksanaan cukai, termasuk siapa yang sebenarnya menanggung beban cukai, sama ada pengeluar atau pengguna yang bergantung kepada keanjalan harga barangan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan SST yang diperluas dilaksanakan mulai 1 Julai 2025, dengan cukai jualan sebanyak lima hingga 10 peratus dikenakan ke atas barangan terpilih dan bukan keperluan.

Di bawah struktur yang disemak semula, barangan keperluan termasuk hasil tani segar, buah-buahan tempatan, beras, minyak masak, roti, gula, ubat-ubatan dan bahan binaan akan kekal dikecualikan daripada cukai jualan.

Walau bagaimanapun, barangan pilihan atau mewah tertentu seperti ketam raja, buah-buahan import, cendawan trufel, minyak pati, dan fabrik sutera akan dikenakan cukai jualan sebanyak 5 peratus manakala barangan premium seperti basikal lumba dan lukisan antik akan dikenakan cukai jualan yang lebih tinggi sebanyak 10 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN