Pegawai Kor Agama ATM maut dalam nahas

Pegawai Kor Agama ATM maut dalam nahas

ANGGOTA bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas di Jalan Masjid Tanah–Kampung Solok Duku, Alor Gajah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki di Jalan Masjid Tanah–Kampung Solok Duku di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Akmal Mohamad Amjaduzzahwi, 24, difahamkan dalam perjalanan ke Kem Terendak, Sungai Udang, apabila kemalangan berlaku pada pukul 3.40 pagi.

Difahamkan, mangsa yang baharu setahun bertugas memandu kereta jenis Perodua Myvi sebelum kenderaan itu dikatakan bertembung dengan lori terbabit.

Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafidzatullah Rashid yang juga Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.42 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah digerakkan ke lokasi dan mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak segera menjalankan kerja-kerja menyelamat dan berjaya mengeluarkan mangsa pada pukul 4.11 pagi. Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi pembersihan sisa kemalangan dilakukan.

“Keseluruhan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.57 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN