Pedro jadi senjata baharu Chelsea

Pedro jadi senjata baharu Chelsea

Joao Pedro (tengah) menjadi senjata baharu Chelsea di Piala Dunia Kelab.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penyerang baharu Chelsea, Joao Pedro dijangka membuat penampilan sulungnya ketika menentang kelab Brazil, Palmeiras dalam suku akhir Piala Dunia Kelab, awal pagi esok.

Penyerang Brazil berusia 23 tahun itu menyertai Chelsea dari Brighton and Hove Albion dengan yuran perpindahan dilaporkan 60 juta pound (RM345 juta), semalam.

Pedro terus menjalani latihan bersama skuad Enzo Maresca di Miami sebelum bertolak ke Philadelphia menjelang perlawanan menentang pasukan dari Sao Paulo, Palmeiras.

“Semua orang tahu ini adalah kelab besar dengan sejarah yang hebat.Mereka mempunyai ramai pemain hebat sebelum ini dan masih ada pemain hebat sekarang.

“Jadi saya teruja untuk menyertai Chelsea. Bila anda bermain untuk Chelsea, anda hanya fikir satu perkara iaitu menang,” kata Pedro dalam kenyataan rasmi kelab.

Pedro menandatangani kontrak jangka panjang selama lapan tahun bersama skuad The Blues dan dijangka menjadi antara tonggak utama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Bekas pemain Watford itu menyertai Brighton pada 2023 dan berjaya meledak 30 gol serta mencatat 10 bantuan jaringan dalam 70 penampilan bersama kelab Pantai Selatan itu.

Terdapat kemungkinan menarik trofi pertama buat pemain baharu ini boleh hadir dalam tempoh hanya 10 hari, jika Chelsea berjaya menjuarai Piala Dunia Kelab.

Kelab dari London itu pernah menewaskan Palmeiras pada final Piala Dunia Kelab edisi lama di Abu Dhabi pada 2022.

Chelsea sebelum ini tewas 1-3 di tangan sebuah lagi kelab dari Brazil, Flamengo di peringkat kumpulan Piala Dunia Kelab, tetapi tidak menghalang mereka mara ke peringkat kalah mati.

Pasukan bimbingan Maresca kemudiannya mengatasi Benfica 4-1 selepas masa tambahan di Charlotte dalam pusingan 16 terakhir untuk mara ke suku akhir.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN