Persiapan raya tujuh keluarga dijilat api

Persiapan raya tujuh keluarga dijilat api

NURUL Rizan Bujang sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya di Kampung Paloh Hilir Tendong Pasir Mas, Kelantan terbakar. – MINGGUAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kegembiraan mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri bertukar pilu buat tujuh keluarga apabila rumah mereka di Kampung Paloh Hilir di sini, musnah dalam kebakaran, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, pembantu kedai roti, Nurul Rizan Bujang, 48, bersama suami dan lima anaknya kini tinggal sehelai sepinggang apabila hampir semua harta benda termasuk persiapan raya hangus dijilat api.

Nurul Rizan berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya keluar membeli barangan persiapan Aidilfitri dan meninggalkan tiga anak di rumah manakala dua lagi anaknya keluar bekerja serta ke rumah rakan.

“Sebaik sahaja tiba di separuh perjalanan, saya menerima panggilan telefon daripada anak memaklumkan rumah terbakar, namun talian terputus-putus dan saya hanya sempat dengar perkataan ‘terbakar’.

“Saya terus berpatah balik dan dari jauh sudah nampak asap tebal serta api marak dari arah rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Nurul Rizan memberitahu, sebaik sahaja tiba, dia terus mencari tiga anaknya yang berada di dalam rumah ketika kejadian iaitu dua anak lelaki berusia 25 tahun dan 27 tahun serta seorang anak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 13 tahun.

“Syukur mereka semua selamat tetapi kami terkilan ke­rana semua baju raya anak-anak hangus terbakar. Malah cincin dan gelang emas yang disimpan untuk majlis pertunangan anak kedua selepas Hari Raya Aidiladha pada Mei ini juga tidak sempat diselamatkan,” ujarnya.

Menurut beliau, sebuah kereta dan tiga motosikal milik keluarga itu turut musnah dalam kebakaran ber­kenaan.

Katanya, kebakaran disedari oleh anak perempuan OKU yang terhidu bau asap sebelum memaklumkannya kepada dua abangnya.

“Apabila mereka memeriksa bilik tidur, api sudah membakar dinding dan percikan api jatuh ke atas tilam. Mereka cuba memadamkan api dengan menjirus air, namun api semakin marak menyebabkan mereka terpaksa ke­luar menyelamatkan diri,” ujarnya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN