PATTANI (THAILAND): Dua senjata api yang dirampas daripada seorang anggota kumpulan pemisah yang ditembak mati dalam operasi keselamatan di Daerah Nong Chik, Pattani, Rabu lalu didapati mempunyai ‘sejarah hitam’ kerana pernah terlibat dalam beberapa insiden keganasan sebelum ini.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, hasil siasatan nombor siri mendapati, raifal M4 berkaliber 5.56 milimeter yang ditemukan pada suspek sebenarnya adalah senjata milik kerajaan yang dilaporkan hilang selepas seorang anggota polis ditembak mati pada 10 Jun 2023.
Katanya, senjata berkenaan dicuri ketika serangan ke atas seorang pegawai dari Balai Polis Na Pradu di Daerah Khok Pho, Pattani.
“Raifal yang dirampas itu bukan M16 seperti dilaporkan sebelum ini, sebaliknya M4 dan merupakan senjata milik kerajaan yang dilarikan selepas anggota polis berkenaan dibunuh.
“Pistol SIG Sauer .38 yang turut dirampas pula dikenal pasti sebagai senjata perkhidmatan milik bekas Ketua Kampung Lamphaya, Chalong Thongngam,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Sumber ISOC4 itu berkata, pistol tersebut dilarikan ketika serangan ke atas Pos Keselamatan Kampung Lamphaya di Daerah Mueang, Wilayah Yala pada 5 November 2019 yang mengorbankan 15 nyawa. – UTUSAN










