PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah tewas buat kali kedua berturut-turut, tahun ini di tangan gandingan No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam perlawanan akhir Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, hari ini.
Aksi serba tidak menjadi daripada pasangan No. 3 dunia itu yang menyaksikan mereka terpaksa akur dengan kekalahan straight set 15-21, 14-21 dalam masa 45 minit kepada beregu handalan China tersebut.
Kekalahan itu merupakan yang kedua menimpa Pearly-Thinaah kepada Sheng Shu-Tan Ning, musim ini, selepas mereka ditimpa nasib serupa pada final Terbuka Indonesia, bulan lalu.
Bagaimanapun, untuk rekod pertemuan secara keseluruhan, jurang kekalahan menimpa Pearly-Thinaah di tangan Sheng Shu-Tan Ning semakin melebar kepada 3-9.
Muncul sebagai naib juara pada kejohanan berstatus Super 750, Pearly-Thinaah membawa pulang pingat perak serta wang tunai sebanyak AS$33,250 (RM141,179).
Fokus Pearly-Thinaah selepas ini ialah kepada kejohanan berstatus Super 1,000 iaitu Terbuka China yang bermula Selasa ini. – UTUSAN