Pearly-Thinaah berdepan Matsuyama-Shida di separuh akhir

Pearly-Thinaah berdepan Matsuyama-Shida di separuh akhir

PEARLY-THINAAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah bakal menghitung pertemuan buat kali ke-15 dengan pasangan tuan rumah, Nami Matsuyama-Chiharu Shida pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo, Jepun, esok.

Pada suku akhir, hari ini, beregu No. 3 dunia itu membenam cabaran Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo dari Korea Selatan menerusi kemenangan straight set 21-15, 21-19 dalam masa 55 minit.

Kejayaan tersebut bakal menemukan Pearly-Thinaah dengan Matsuyama-Shida yang merupakan gandingan No. 2 dunia dengan rekod pertemuan 1-13.

Satu-satunya kemenangan yang dilakar Pearly-Thinaah ke atas gandingan No. 1 Jepun itu ialah pada Terbuka Perancis, tiga tahun lalu.

Sejak pencapaian tersebut, Pearly-Thinaah terus ditimpa badi kekalahan dan esok, mereka buat sekian kali memburu kemenangan kedua ke atas beregu tuan rumah tersebut yang sudah pasti akan mendapat sokongan padu daripada penyokong mereka.

Untuk Pearly-Thinaah kemaraan mereka di separuh akhir adalah yang keenam bagi tahun ini selepas berjaya berbuat demikian pada Terbuka India, Indonesia Masters, Terbuka Thailand, Malaysia Masters dan Terbuka Indonesia.

Jika berjaya mendapatkan kemenangan yang dicari-cari, peluang itu hadir pada ketika Matsuyama-Shida semakin tiba di penghujung jalan bagi mengakhiri kerjasama mereka yang akan dititik noktahkan pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis 25-31 Ogos ini.

Kedua-dua pemain itu bakal membuat haluan masing-masing dengan Shida dijangka membentuk gandingan bersama Arisa Igarashi, manakala, Maysuyama sedang menimbangkan untuk beralih angin ke dalam sektor beregu campuran pula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN