ROM: Juara Serie A, Napoli mengesahkan kehadiran penyerang antarabangsa Belanda, Noa Lang dari PSV Eindhoven.
Menurut laporan media Itali, Napoli membayar €25 juta Euro (RM123 juta) untuk mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu.
“SSC Napoli mengumumkan telah memperoleh secara muktamad pendaftaran pemain Noa Noell Lang dari PSV Eindhoven,” kata kelab itu dalam kenyataan ringkas di laman web rasmi, semalam.
Lang menjadi pemain berprofil tinggi kedua meninggalkan PSV minggu ini selepas Malik Tillman berhijrah ke Bayer Leverkusen.
Dia memulakan karier di Ajax sebelum dipinjamkan ke Club Brugge pada 2020 dan kemudian kekal secara tetap musim berikutnya.
Pada 2023, Lang menyertai PSV dan tampil dalam 63 perlawanan dengan 19 gol serta mencipta 14 bantuan jaringan.
Sepanjang bersama PSV, Lang meraih dua kejuaraan Eredivisie selain dua gelaran liga Belgium bersama Brugge.
Lang yang memiliki 14 kaps bersama Belanda menyumbang tiga gol dan dua bantuan gol untuk skuad Oranje. – AGENSI