JOHANNESBURG: Para pemimpin G20 berikrar dalam deklarasi sidang kemuncak mereka untuk bekerja ke arah mencapai keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di Sudan, Republik Demokratik Congo, wilayah Palestin dan Ukraine.
“Dipandu oleh matlamat dan prinsip Piagam PBB secara keseluruhannya, kami akan berusaha bagi mewujudkan keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di Sudan, Republik Demokratik Congo, Wilayah Palestin yang diduduki dan Ukraine,” menurut deklarasi akhir sidang kemuncak di Johannesburg, Afrika Selatan.
Sambil mengecam keganasan dalam semua bentuk dan manifestasinya, kenyataan itu menegaskan hanya dengan keamanan, dunia dapat mencapai kemampanan dan kemakmuran.
Para pemimpin turut berikrar membantu menamatkan konflik dan peperangan lain di seluruh dunia.
Jurucakap Presiden Afrika Selatan, Vincent Magwenya mengesahkan pada Sabtu, para pemimpin di sidang kemuncak G20 menerima pakai deklarasi tersebut, menurut penyiar awam SABC.
Ditubuhkan pada 1999, G20 dianggotai oleh 19 negara dan dua badan serantau Kesatuan Eropah (EU) dan Kesatuan Afrika.










