MELAKA: Persatuan Muaythai Melaka (PMNM) menyasarkan satu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor yang akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan.
Jurulatihnya, Md. Zawawi Ibrahim berkata, sasaran yang diletakan itu adalah realistik selepas SUKMA Sarawak XXI 2024 pasukan itu hanya menyumbang dua pingat perak.
Menurutnya, sasaran satu emas itu disandarkan menerusi Mohd. Hadif Hazim Hassan, 17, yang memenangi pingat emas kategori 80-85 kilogram (kg) pada Kejohanan Muaythai Sukan Tempur Kebangsaan (Pra-SUKMA) & Kejohanan Muaythai Grand Prix Kebangsaan 2025 berakhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu.
Beliau berkata, pencapaian skuad Muaythai Melaka di kejohanan dua hari lalu itu disifatkan yang terbaik setakat ini meraih 13 pingat apabila menang enam emas, dua perak dan lima gangsa sekali gus membuktikan mereka kini mampu menjelmakan emas pada temasya SUKMA di Selangor nanti.
“Kejohanan Pra-SUKMA Ahad lalu sebenarnya menjadi medan pendedahan terbaik untuk atlet negeri mengasah bakat sebagai persediaan menghadapi kejohanan SUKMA di Selangor tahun depan.
“Melihat prestasi kesemua atlet yang bertanding serta meraih enam emas, dua perak dan lima gangsa membuktikan skuad muaythai Melaka mampu menjelmakan emas di Selangor yang menjadi sasaran utama.
“Di Selangor kita sasarkan satu emas namun tidak mustahil untuk menambah pingat itu walaupun menyedari kehebatan Sabah dan Sarawak yang mendominasi di Axiata Arena dua hari lalu,” ujarnya kepada pemberita di Pusat Latihan PMNM di Ayer Keroh di sini hari ini.
Md. Zawawi berkata, buat pertama kali PMNM akan menyertai acara Wai Kru individu Wanita dan sukan tempur berpasukan lelaki dan Wanita di Selangor tahun depan.
Menurutnya, 14 atlet akan dipilih dalam masa terdekat iaitu tujuh Wanita dan tujuh lelaki bertanding dalam kategori individu yang ditetapkan penganjur SUKMA di Selangor.
“Pemilihan ini turut mengambil kira persembahan atlet di Pra-SUKMA dan Kejohanan Muay Thai Grand Prix Kebangsaan sebelum kita muktamad senarai terakhir untuk diserahkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka,” ujarnya. – UTUSAN