PORTRUSH: Rory McIlroy kembali ke Royal Portrush di Ireland Utara bagi minggu ini sebagai lelaki yang jauh berbeza berbanding edisi terakhir Kejohanan Terbuka di lapangan sama enam tahun lalu.
Beliau turun selaku pemain tuan rumah, mengakui bahawa tekanan sebagai harapan negara sendiri pernah menenggelamkannya pada 2019 namun, kini dia lebih bersedia secara mental dan emosi.
“Saya masih ingat berjalan ke tee pertama dan sambutan itu. Saya terkejut, macam ‘wow, mereka betul-betul mahu saya menang’, dan saya tidak bersedia secara mental untuk hadapi semua itu.
“Kali ini saya mahu peluk semua itu. Terima kasih, senyuman, harapan dan bukannya menyorok seperti sebelum ini, kerana ia akan jadikan minggu ini lebih istimewa buat semua,” kata McIlroy.
McIlroy, 36, yang kini menyandang kejuaraan Masters dan memiliki koleksi Grand Slam penuh, melakar kenangan awal di Portrush apabila mencatat rekod padang 61 pukulan ketika berusia 16 tahun di kejohanan amatur pada 2005.
Namun, padang yang telah direka semula kini bukan sahaja menuntut permainan berbeza, malah menjanjikan cabaran mental yang lebih mencabar untuk bekas juara Terbuka 2014 itu.
Lebih meyakinkan, McIlroy hadir ke Portrush berbekalkan prestasi cemerlang minggu lalu apabila menamatkan saingan di tempat kedua Kejohanan Terbuka Scotland dengan empat pusingan di bawah 70 pukulan.
“Sejak dari awal tahun ini saya sudah tandakan Terbuka di Portrush dalam kalendar, mungkin lebih besar daripada Masters kerana maknanya yang tersendiri dan saya benar-benar teruja,” ujarnya.-AGENSI