Martin kembali beraksi bersama Aprilia dalam MotoGP

Martin kembali beraksi bersama Aprilia dalam MotoGP

JORGE MARTIN - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRNO: Juara dunia bertahan MotoGP, Jorge Martin berkata sudah tiba masa untuk mula membina ketika dia bersiap sedia untuk kembali bersama Aprilia di Grand Prix (GP) Czech, hujung minggu ini.

Pelumba Sepanyol itu berehat panjang sejak mengalami beberapa siri kecederaan akibat kemalangan dalam GP Qatar, April lalu.

Martin turut terlepas semua sesi pramusim selepas terjatuh pada hari pertama ujian di Sepang serta tidak beraksi dalam tiga pusingan pertama musim ini kerana kecederaan semasa latihan.

Selepas menjalani ujian di Misano minggu lalu, Martin diberi lampu hijau untuk kembali berlumba hujung minggu ini di Brno sebelum cuti musim panas.

Martin mengakui terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan tetapi yakin dengan potensi projek Aprilia menjelang separuh kedua musim ini.

“Saya tidak sabar untuk kembali menunggang, saya benar-benar gembira saat ini akhirnya tiba. Bersama Aprilia, kami ada banyak kerja menanti tetapi kami mempunyai potensi besar untuk mencipta kejayaan.

“Sekarang masa untuk mula membina dan menyasarkan penamat musim yang kuat,” katanya.

Martin belum pernah berlumba di Brno dengan jentera MotoGP, kerana litar Czech itu telah dikeluarkan daripada kalendar sejak musim 2020.

Keputusan terbaiknya di litar tersebut adalah pada 2016 apabila dia menduduki tempat kedua dalam perlumbaan Moto3 yang berlangsung dalam keadaan hujan menaiki jentera Mahindra. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN