PETALING JAYA: Pasukan sepak takraw negara memulakan kempen Kejohanan Piala Raja Thai 2025 dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Korea Selatan dalam aksi pembukaan Kumpulan B yang berlangsung di Central Hatyai, Songkhla, sebentar tadi.
Regu pertama negara yang dibarisi pemain berpengalaman, Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Mohammad Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) tidak menghampakan apabila menepati ramalan dengan menundukkan regu pertama Korea Selatan yang diketuai Park Hyeongeun, Kim Hyeong Jong dan Lee Min Ju dengan keputusan 2-1.
Kemenangan itu disusuli aksi bertenaga oleh regu kedua negara yang menampilkan Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Aidil Aiman Azwawi yang tidak memberi ruang kepada lawan dan memastikan kemenangan kedua berpihak kepada Malaysia menerusi keputusan straight set 2-0.
Momentum cemerlang itu diteruskan oleh regu ketiga yang diketuai Muhammad Haziq Hairul Nizam, dibantu Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Norfaizzul Abd Razak. Mereka melengkapkan kemenangan mutlak 3-0 ke atas Korea Selatan dengan satu lagi kemenangan bergaya 2-0.
Kejayaan itu meletakkan skuad negara di landasan tepat untuk mara lebih jauh dalam kejohanan berprestij ini.
Malaysia akan berdepan Myanmar dalam aksi kedua Kumpulan B yang dijadual berlangsung hari ini-UTUSAN