Maaedicare rancang tubuh pusat pemulihan, fisioterapi khas B40

Maaedicare rancang tubuh pusat pemulihan, fisioterapi khas B40

TUANKU Muhriz Tuanku Munawir berkenan menghadiri Majlis Makan Malam Amal anjuran Yayasan Amal Maaedicare bagi mengumpul dana untuk pesakit buah pinggang dan jantung di Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN/AFIERA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis makan malam amal anjuran Yayasan Amal Maaedicare berjaya mengumpul sumbangan hampir RM600,000 bagi menyokong usaha menyelamatkan pesakit buah pinggang dan jantung di negara ini.

Bagi tujuan itu, pihak Yayasan Amal merancang menubuhkan sebuah Pusat Pemulihan dan Fisioterapi khusus bagi membantu pesakit jantung dan dialisis dalam kalangan komuniti B40.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan, Anne Rajasaikaran berkata, pencapaian itu mencerminkan sokongan kuat masyarakat terhadap misi kemanusiaan yayasan tersebut.

“Sehingga kini, Yayasan Amal Maaedicare telah mengendalikan 11 pusat dialisis di sembilan negeri, memberi manfaat kepada lebih 35,000 pesakit sejak tahun 1994.

“Sejak 2023, dua klinik percuma telah ditubuhkan dan telah memberi rawatan kepada lebih 2,500 golongan kurang berkemampuan, selaras dengan usaha mengurangkan beban kos rawatan serta meningkatkan tahap kesihatan komuniti.

“Pasukan perubatan kami juga telah menganjurkan hampir 120 program saringan percuma kepada hampir 9,000 rakyat Malaysia sejak tahun 2020,” katanya dalam majlis makan malam itu di sini, malam tadi.

Majlis disempurnakan Penaung Yayasan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Turut berangkat, Pengerusi Kebangsaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Tunku Puteri Intan Safinaz. Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, dan Ahli Parlimen Batu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), P. Prabakaran.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan, Tunku Datuk Yaacob Khyra berkata, pihaknya merancang menubuhkan sebuah Pusat Pemulihan dan Fisioterapi khusus bagi membantu pesakit jantung dan dialisis dalam kalangan komuniti B40.

“Pusat ini akan dikendalikan oleh pakar pemulihan dan menumpukan kepada penjagaan serta proses pemulihan pasca rawatan agar pesakit kembali kepada kehidupan yang lebih baik.

Tambahnya, terdapat kewujudan “perangkap dialisis” apabila pesakit perlu berhenti kerja untuk layak menerima bantuan kerajaan, sekali gus menjerumuskan mereka ke kancah kemiskinan.

“Jika anda memperoleh lebih RM1,000 sebulan, anda tidak layak untuk subsidi kerajaan dan perlu membayar kira-kira RM4,000 sebulan untuk rawatan di pusat swasta. 

“Akhirnya, ramai terpaksa berhenti kerja untuk mendapatkan bantuan, lalu hidup dalam kemiskinan semata-mata untuk terus hidup,” katanya.

Beliau berkata, lebih lima juta rakyat Malaysia atau 15.5 peratus daripada populasi kini menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD), namun hanya lima peratus yang sedar akan keadaan mereka.

“Setiap hari, 28 rakyat Malaysia disahkan mengalami kegagalan buah pinggang iaitu kira-kira 10,000 kes baharu setiap tahun dan lebih 50 peratus daripada mereka juga menghidap diabetes. 

“Menjelang 2040, dijangka seramai 106,000 rakyat Malaysia akan menjalani rawatan dialisis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN