Lyles tundukkan Tebogo di Monaco

Lyles tundukkan Tebogo di Monaco

NOAH Lyles menewaskan juara Olimpik, Letsile Tebogo dalam acara 200 meter pada Kejohanan Liga Berlian Monaco
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONACO: Pelari pecut sensasi Amerika Syarikat, Noah Lyles membuktikan kehebatannya apabila menewaskan juara Olimpik, Letsile Tebogo dalam acara 200 meter pada Kejohanan Liga Berlian Monaco awal pagi tadi.

Kemenangan itu menjadi penampilan sulung musim ini buat Lyles dalam acara 200m, selepas bergelut dengan masalah kecederaan yang menimbulkan tanda tanya mengenai kemampuannya mempertahankan gelaran juara dunia buat kali keempat di Tokyo pada September nanti.

Namun, pelari berusia 26 tahun itu menjawab segala keraguan dengan penuh bergaya apabila menamatkan saingan dengan catatan masa 19.88 saat, menewaskan Tebogo yang ketinggalan tipis di tempat kedua dengan 19.97 saat.

“Saya sengaja cabar diri sendiri apabila turun semula bertemu Tebogo. Tiada tekanan langsung. Ini yang kami cintai, inilah dunia kami,” katanya selepas perlumbaan.

Tahun lalu, Lyles sekadar menduduki tempat ketiga di Paris, dan tidak lama selepas itu mendedahkan bahawa dia dijangkiti COVID-19.

Sejak itu, dia tidak pernah bertemu semula dengan Tebogo di trek sebelum aksi dramatik di Monaco kali ini.

Pelari Botswana itu bermula cemerlang di blok permulaan dan seiring bersama Lyles memasuki selekoh terakhir, namun juara dunia tiga kali itu menunjukkan kekuatan sebenar apabila mula meninggalkan pencabarnya dalam 50 meter terakhir.

Sebagai juara bertahan, Lyles tidak perlu melalui proses kelayakan menerusi Kejohanan Trek & Padang Amerika Syarikat hujung bulan ini dan kini menumpukan perhatian kepada saingan 100m di Liga Berlian London minggu hadapan.

“Saya memang tak sabar untuk kembali berlumba. Saya tonton saingan di Prefontaine sebelum ini dan memang rasa ingin turun, tetapi pasukan mahu pastikan saya benar-benar pulih dahulu sebelum beraksi semula,” jelasnya.

Dalam acara 800 meter, Emmanuel Wanyonyi membuktikan statusnya sebagai antara pelari tengah jarak paling konsisten ketika ini apabila mengatasi barisan pesaing elit untuk muncul juara, sekali gus memberikan bayangan awal cabaran utama dalam Sukan Olimpik Paris akan datang.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN