PARIS: Juara Olimpik 100 meter (m), Noah Lyles bakal membuat penampilan semula dalam acara 200m pada Siri Diamond League di Monaco, Jumaat ini.
Pelari Amerika Syarikat (AS) berusia 27 tahun itu sebelum ini hanya beraksi dalam acara 400m di Atlanta pada April lalu dan belum turun bertanding dalam jarak pecut musim ini.
Aksi sulungnya musim ini dalam acara 200m bakal mempertemukannya semula dengan juara Olimpik dari Botswana, Letsile Tebogo.
Pertemuan ini merupakan yang pertama sejak final di Paris tahun lalu apabila Lyles yang dijangkiti Covid-19 ketika itu hanya meraih gangsa.
Tebogo tiba di Monaco selaku pelari yang perlu ditewaskan selepas mencatat masa terpantas musim ini iaitu 19.76 saat (s) di Eugene pada Sabtu lalu.
Perlumbaan itu dijangka menjadi medan penting buat Lyles mengukur tahap sebenar prestasinya menjelang kejohanan utama akan datang. – AGENSI