LISBON: Sporting CP membuat kejutan di pasaran perpindahan apabila menandatangani penyerang Colombia, Luis Suarez dari Almeria dengan kontrak sehingga 2030.
Kelab Portugal itu mengumumkan Suarez sebagai pemain baharu mereka dengan nilai klausa pelepasan mencecah 80 juta Euro (RM395 juta).
“Luis Suarez ialah pemain terbaharu Sporting Clube de Portugal. Penyerang berusia 27 tahun ini menyertai kami dari UD Almeria, di mana beliau menjaringkan 31 gol dan mencipta lapan bantuan gol pada musim 2024–25,” kata kelab itu dalam kenyataan.
Menurut laporan media Sepanyol, yuran perpindahan dianggarkan sekitar 25 juta Euro (RM123 juta) walaupun butiran kewangan tidak didedahkan secara rasmi.
“Saya telah mencapai kemuncak karier saya. Saya mahu buktikan bahawa saya layak berada di sini,” kata Suarez dalam kenyataan ringkas.
Suarez memulakan karier profesionalnya bersama Itagui Leones pada 2015 sebelum berhijrah ke Sepanyol dan beraksi dengan Granada, Valladolid, Gimnastic, Zaragoza serta kelab Perancis, Marseille. – AGENSI