‘Ludah Jin’: Berlaku sekali sepanjang hayat

‘Ludah Jin’: Berlaku sekali sepanjang hayat

GEGATA jenis akut biasanya berlaku dua ke tiga kali sahaja sepanjang hayat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernahkah anda mengalami ruam berbintik merah pada kulit yang menyebabkan rasa gatal? Apabila digaru, ia semakin gatal dan menebal serta ruamnya semakin membesar dan dalam kepercayaan tradisional ia dipanggil ludah jin.

Sebenarnya dalam istilah perubatan ia dikenali sebagai Gegata iaitu sejenis ruam yang juga dikenali sebagai urtikaria, gata-gata, kelopak garam dan sopak garam.

Mengikut data terkini, dianggarkan sebanyak 20 peratus daripada masyarakat umum akan mengalami ruam yang sangat gatal ini sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka.

Pakar Dermatologi, Jabatan Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Adawiyah Jamil berkata, ramai percaya punca gegata paling utama adalah alahan terhadap makanan, terutamanya makanan laut seperti udang dan ketam.

“Alahan kepada makanan memang boleh menyebabkan timbulnya gegata, namun demikian, sebahagian besar daripada gegata sebenarnya tidak berpunca daripada makanan. Kenyataan ini sangat sukar diterima oleh kebanyakan pesakit disebabkan kepercayaan umum yang menebal dalam kalangan masyarakat.

“Gegata muncul bermula dengan rasa gatal yang diikuti oleh bintik merah seperti gigitan nyamuk yang akan menjadi bertambah besar serta tebal. Beberapa gegata yang tumbuh berdekatan boleh bercantum menjadi satu tompokan besar,” katanya.

Katanya, selain timbulnya gegata, kelopak mata atau bibir juga boleh membengkak yang dipanggil angioedema. Keadaan yang lebih serius berlaku apabila lidah berasa tebal, tekak sempit, kesukaran bernafas dan tekanan darah menjadi rendah.

Tahap paling serius dikenali sebagai anaphylaxis serta seterusnya anaphylactic shock yang boleh membawa maut. Gegata sahaja tanpa ada tanda-tanda lain walaupun timbul dengan sangat banyak serta bersaiz besar adalah tidak berbahaya.

Namun begitu, ia menyebabkan rasa gatal yang sangat teruk ditambah pula dengan rupa dan tekstur yang menakutkan dan mencemaskan pengidap gegata tersebut.

“Gegata yang terjadi selama beberapa hari sebelum sembuh sepenuhnya digelar gegata jenis akut. Punca-punca gegata akut yang paling lazim adalah jangkitan kuman, alahan kepada ubat dan alahan kepada makanan.

Makanan laut terutamanya udang, telur, susu atau tenusu adalah makanan yang paling kerap menyebabkan alahan.

“Gegata yang berpunca daripada alahan makanan akan timbul sebaik sahaja makanan itu dimakan, atau dalam sela masa sejam ataupun selewat-lewatnya antara empat hingga enam jam selepas itu, jika gegata terjadi di luar jangka masa ini, alahan makanan bukanlah puncanya,” katanya.

Ujian kenalpasti punca gegata

Dr. Adawiyah berkata, ujian kulit ‘prick test’ atau ujian darah IgE sekiranya sesuai boleh dilakukan untuk mengesahkan makanan yang menyebabkan alahan iaitu punca gegata.

“Alahan akan berlaku setiap kali makanan yang sama diambil dan jika gegata timbul dan adakalanya tidak bila makanan tertentu diambil, maka makanan itu bukanlah punca kepada gegata.

“Begitu juga sekiranya berlaku alahan kepada ubat. Ubat tahan sakit dan antibiotik adalah antara ubat-ubatan yang paling kerap menyebabkan gegata akut jenis alahan.” Katanya.

Katanya, gegata yang berpunca daripada jangkitan kuman pula boleh berlaku apabila seseorang menga­lami jangkitan demam, sakit tekak, selsema atau batuk. Ia boleh juga berlaku beberapa hari selepas jangkitan itu sembuh.

Kerap juga berlaku tanda-tanda jangkitan itu sangat ringan sehingga tidak diingati oleh pesakit. Gegata jenis akut biasanya berlaku dua ke tiga kali sahaja sepanjang hayat.

“Gegata yang muncul hampir setiap hari untuk jangka masa melebihi enam minggu adalah gegata jenis kronik. Gegata kronik tidak kaitan langsung dengan alahan, malah ia adalah sejenis penyakit kulit.

“Penyakit ini lebih kerap dihidapi oleh kaum wanita dalam lingkungan umur 30 ke 50 tahun walaupun ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Sebahagian daripada pesakit turut mengalami angioedema.

Sebahagian daripada gegata kronik mempunyai kaitan dengan masalah sistem imun yang dikenali sebagai autoimun,” katanya.

Ujian darah boleh dilakukan untuk mengenalpasti wujudnya masalah ini atau penyakit lain yang mungkin berhubungkait dengan gegata kronik. Sebarang ujian alahan tidak perlu dilakukan.

Penyakit ini kerapkali berlarutan sehingga dua tahun dan sebahagian kecil daripada pesakit menderita sehingga lima tahun. Sangat jarang pesakit yang menderita sehingga melebihi 10 tahun.

Dos betul cegah berulang

Gegata kronik dirawat menggunakan ubat jenis anti-histamin seperti loratadine, bilastine, desloratadine, fexofenadine dan levocetirizine. Ubat-ubatan ini perlu diambil secara tetap setiap hari.

“Gegata tidak akan muncul sekiranya dirawat dengan dos yang betul. Penyakit di tahap yang lebih teruk mungkin memerlukan ubat tambahan lain seperti ciclosporin atau suntikan omalizumab. Penggunaan ubat steroid dalam rawatan gegata kronik adalah tidak digalakkan kecuali dalam kes serius.

“Gegata kronik boleh dirawat tanpa perlu pesakit tberpantang atau mengelak makanan tertentu. Pesakit-pesakit juga tidak perlu risau mengenai risiko alahan.

“Maklumat yang lengkap dan tepat berkenaan penyakit ini serta rawatan yang berkesan boleh didapati daripada pakar dermatologi yang bertauliah,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN