Mesir buka muzium tamadun Firaun

Mesir buka muzium tamadun firaun

KESAN cahaya menampilkan keranda pengebumian Raja Tutankhamun menerangi langit semasa upacara pembukaan Grand Egyptian Museum di Giza, di barat daya Kaherah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Mesir secara rasmi membuka Grand Egyptian Museum (GEM), projek bernilai berbilion dolar yang lama dinantikan untuk mempamerkan koleksi bahan sejarah tamadun firaun, dengan harapan dapat menghidupkan semula sektor pelancongan serta memulihkan ekonomi negara itu.

Muzium seluas 500,000 meter persegi ini menempatkan kira-kira 100,000 artifak separuh daripadanya berusia lebih enam ribu tahun.

“Ketika kita meraikan pembukaan Grand Egyptian Museum, kita sedang menulis bab baru dalam sejarah masa kini dan masa depan,” kata Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.

Terletak di lereng menghadap Dataran Tinggi Giza berhampiran piramid, muzium ini dibina dengan sokongan teknikal dan kewangan besar dari Jepun.

Lebih dua dekad dibangunkan, projek muzium itu berdepan beberapa penangguhan akibat ketidakstabilan politik, konflik serantau dan pandemik Covid-19.

Pegawai Mesir menyifatkan muzium ini sebagai koleksi terbesar di dunia yang didedikasikan kepada satu tamadun sahaja.

Di dalamnya, pengunjung akan memasuki dewan luas yang dipenuhi cahaya, siling tinggi dan dinding batu berwarna pasir yang menyerupai gurun sekitar.

Di tengah atrium utama berdiri patung Ramses II seberat 83 tan, firaun yang memerintah Mesir selama 66 tahun pada era kegemilangan negara itu.

Tidak seperti Muzium Mesir lama di pusat Kaherah, GEM menampilkan galeri interaktif, pencahayaan tepat, pameran realiti maya dan juga muzium kanak-kanak.

Antara tarikan utama adalah makmal pemuliharaan secara langsung yang dapat dilihat melalui dinding kaca, di mana pelawat boleh menyaksikan proses memasang semula bot solar berusia 4,500 tahun yang ditemui berhampiran piramid Khufu.

Tumpuan utama muzium ini adalah koleksi lebih 5,000 artifak milik Raja Tutankhamun, kebanyakannya dipamerkan bersama buat kali pertama.

Muzium akan dibuka kepada orang ramai pada Selasa, mempamerkan ribuan artifak pengebumian yang sebelum ini berselerak di seluruh Mesir.

Menteri Pelancongan, Sherif Fathy menjangkakan jumlah ketibaan pelancong mencecah 18 juta menjelang akhir tahun.

Beliau berkata, kerajaan menjangka muzium itu menarik lima juta pelawat setiap tahun, dengan 5,000 hingga 6,000 pelawat kini masuk setiap hari.

“Kami berharap dapat meningkatkannya kepada 15,000 sehari,” kata Fathy.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN