Seorang lelaki muda datang berjumpa doktor kerana masalah kulit yang bertompok putih pada wajahnya sejak beberapa tahun. Mulanya dia menyangka ia disebabkan ekzema dan menyangka ia akan hilang selepas disapu krim. Namun selepas menjalani pemeriksaan dan ujian kulit, ternyata lelaki itu mengalami penyakit kusta.
Disebabkan lewat mendapatkan rawatan, wajahnya bertukar daripada kacak kepada kulit muka tebal dan hidungnya menjadi kembang.
Gejala kusta atau penyakit Hansen sering disalah anggap sebagai penyakit kulit biasa kerana tompok yang muncul pada kulit pesakit seakan panau yang tidak menyebabkan gatal atau sakit. Ini mengakibatkan pesakit kusta tidak menerima rawatan sewajarnya dan tanpa disedari ia boleh mengakibatkan komplikasi secara perlahan-lahan seperti kecacatan kekal.
Justeru, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr. Siti Aishah Abas berkata, kesedaran orang ramai perlu ditingkatkan memandangkan kes kusta masih banyak berlaku di negara ini.

“Kusta disebabkan oleh bakteria Mycobacterium leprae yang menyerang kulit, saraf periferi dan membran mukus. Penyakit ini merebak melalui titisan pernafasan apabila seseorang terdedah secara berpanjangan kepada pesakit yang belum dirawat.
“Gejala kusta berkembang secara perlahan. Antara tanda kusta adalah tompok kulit pucat atau kemerahan yang kebas,tidak sakit dan tidak gatal. Selain itu, penebalan cuping telinga dan kulit muka serta keguguran bulu kening juga antara tanda kusta,”katanya.
Jenis Penyakit Kusta
Terdapat dua jenis kusta iaitu Paucibacillary (PB), bentuk ringan dengan kurang enam tompok dan biasanya SSS negatif, serta Multibacillary (MB), bentuk lebih teruk dengan enam tompok atau lebih dan SSS positif.
Pesakit pada peringkat ini akan mempunyai beberapa tompokan pada permukaan yang dijangkiti. Pesakit juga biasanya akan berasa kebas pada kawasan yang dijangkiti berikutan saraf di kawasan itu terjejas.
Apabila seseorang disyaki menghidap kusta, proses diagnosis dan tindakan pencegahan perlu segera dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi serius seperti kerosakan saraf atau kecacatan kekal.
Pesakit akan melalui beberapa pemeriksaan fizikal utama iaitu pemeriksaan Lesi Kulit (skin lesion) menggunakan cara pemeriksaan visual untuk mengesan tompok kulit pucat atau kemerahan yang tidak gatal, tidak sakit dan hilang deria rasa.
“Ujian fizikal kedua membabitkan ujian ‘Triple S’ biasanya merujuk kepada Slit Skin Smear (SSS) iaitu ujian diagnostik untuk mengesan Mycobacterium leprae, bakteria yang menyebabkan kusta.
Ujian ini penting untuk menentukan beban bakteria dalam pesakit serta membantu dalam pengelasan dan pemantauan rawatan.
“Ujian fizikal ketiga pula melibatkan ujian deria di mana kawasan tompok diuji sensitivitinya terhadap sentuhan, panas atau sakit menggunakan alat steril seperti kapas atau jarum halus,” katanya.
Jika diagnosis positif, rawatan segera akan dimulakan untuk mencegah kerosakan saraf dan kecacatan. Pesakit akan diberikan ubat Multi-Drug Therapy (MDT) secara percuma selama enam hingga setahun di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pesakit PB memerlukan rawatan selama enam bulan, manakala MB selama 12 bulan untuk mengelakkan komplikasi kekal. Selepas dos pertama rawatan MDT yang diawasi, kebanyakan pesakit menjadi tidak berjangkit dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Ini kerana rifampicin sangat berkesan membunuh bakteria Mycobacterium leprae. Secara praktikalnya, dalam masa satu hingga dua hari selepas memulakan rawatan, pesakit kusta tidak lagi dianggap berjangkit.
Kontak rapat
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) memainkan peranan penting dalam mengesan kes di lapangan. Mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, semua fasiliti kesihatan, termasuk sektor swasta, diwajibkan untuk melaporkan kes yang disahkan atau disyaki kusta kepada PKD dalam tempoh tujuh hari selepas diagnosis.
Notifikasi awal melalui sistem e-Notifikasi KKM atau aplikasi MyHansen membolehkan tindakan segera diambil. Pasukan PKD juga akan menjalankan siasatan di lokasi kes bagi mengenal pasti kontak rapat pesakit.
Bagi kontak rapat pesakit, mereka disarankan mengambil single dose rifampicin (SDR) sebagai perlindungan awal kerana SDR terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan kusta sehingga 57 peratus dalam tempoh dua tahun selepas pengambilan.
“Kontak kepada kes didefinisikan sebagai seseorang yang terdedah secara berterusan atau berkala kepada kes kusta yang tidak dirawat dengan tempoh pendedahan 20 jam dalam seminggu untuk lebih tiga bulan dalam setahun.
“Terdapat tiga kategori kontak iaitu isi rumah, jiran dan sosial. Senarai kontak yang dikenalpasti akan dilaporkan kepada PKD untuk pemeriksaan melalui sistem MyHansen,” katanya.
Kontak rapat yang dikenal pasti akan diperiksa sekiranya ada tanda-tanda kusta oleh pasukan PKD. Kontak rapat yang sihat akan diberi Single Dose Rifampicin (SDR) sebagai langkah pencegahan.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan SDR dapat mengurangkan risiko jangkitan 56.5 peratus dalam tempoh dua tahun.
Dalam memastikan kawalan yang berkesan dalam membendung penularan kusta, KKM komited dalam program kawalan kusta menerusi pemberian rawatan percuma dan pemantauan jangka panjang yang berterusan.
Pesakit kusta akan menerima rawatan kusta Multidrug teraphy MDT percuma di klinik kerajaan dan ubat ini selamat dan berkesan membunuh bakteria kusta. PKD akan memantau pesakit dan kontak rapat secara berkala untuk memastikan tiada penularan.
Dr. Siti Aishah berkata, stigma sosial terhadap pesakit kusta masih menjadi halangan utama menyebabkan ramai pesakit menyembunyikan gejala kerana takut dipulaukan sedangkan rawatan awal boleh menyembuhkan sepenuhnya.
“Masyarakat perlu memahami,kusta tidak berjangkit selepas pesakit mengambil ubat MDT. Bekas pesakit yang sudah sembuh tidak perlu diasingkan dan boleh hidup normal. Kusta masih ada tetapi ia boleh dirawat sehingga sembuh,” katanya.- UTUSAN










