MELAKA: Empat pengusaha beca memulakan misi Kayuhan Beca Merdeka 2025 yang dilepaskan oleh Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di pekarangan Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini, hari ini.
Program bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 itu bakal menyaksikan mereka menjelajah lebih 2,400 kilometer (km) selama dua bulan merentasi seluruh Semenanjung bermula di Melaka dan akan berakhir di Dataran Memorial Kemerdekaan, Banda Hilir pada 30 Ogos ini.
Pengerusi Persatuan Beca Persona Melaka, Rosli Mad Zin berkata, kayuhan itu membawa tiga misi besar iaitu menyemarakkan semangat patriotisme, menggerakkan kempen amal untuk tabung kebajikan pengayuh beca dan mempromosikan Melaka melalui slogan ‘Mana Lagi… Melaka Ler!’.
“Usia bukan penghalang, malah ia membakar semangat saya yang sudah mencecah usia 66 tahun untuk lakukan yang terbaik dan kayuhan ini adalah hasil persediaan fizikal dan mental selama lebih tiga bulan.
“Kayuhan ini melibatkan dua buah beca dan sebuah motosikal membabitkan saya sendiri bersama tiga lagi pengayuh secara bergilir yang terdiri daripada Muhammad Ramadan Rosli, 22; Mohd Razalie Rafie, 54, dan Firdaus Jefri, 26,” katanya.
Rosli berkata, mereka dijadualkan mengayuh sekitar 50 hingga 60km sehari dan akan berhenti rehat sehari dalam setiap minggu.
“Antara lokasi persinggahan ialah Negeri Sembilan, utara Semenanjung, Pantai Timur dan kembali ke selatan. Sekiranya keadaan cuaca mengizinkan, kami turut memasuki Langkawi sebagai lokasi tambahan,” katanya.
Sementara itu, Poay Tiong berkata, misi itu membawa bersama 2,000 bendera Jalur Gemilang untuk diagihkan kepada masyarakat di setiap hentian. – UTUSAN