BANGI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bekerjasama dengan Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menyelesaikan isu papan tanda yang ditutup pelekat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, JPJ Pahang sudah diminta untuk mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan bagi memantau papan tanda terbabit dan menguatkuasakan undang-undang.
Katanya, isu vandalisme terhadap papan tanda bukan berada di bawah bidang kuasa JPJ, sebaliknya tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan dan agensi teknikal seperti JKR.
“Vandalisme bukan di bawah kuasa JPJ kerana kita lebih kepada penguatkuasaan peraturan jalan raya. Tetapi kalau semasa rondaan kita mengesan perbuatan itu sedang berlaku, kita boleh tahan.
“Saya sudah arahkan JPJ Pahang untuk berbincang dengan majlis daerah dan JKR bagi selesaikan isu papan tanda ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Hari Keluarga JPJ (HKJPJ) 2025 di Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini, mengulas berhubung papan tanda JPJ yang ditutup dengan pelekat di Jalan Cameron Highlands, sempadan negeri Perak seperti tular di media sosial.
Aedy berkata, berdasarkan semakan mendapati hanya satu papan tanda dikenal pasti menjadi sasaran vandalisme dan usaha penggantian serta konservasi sudah dilaksanakan oleh pihak berkaitan manakala pemantauan semasa dan tindakan lanjut juga akan dilaksanakan pihak berkaitan. – UTUSAN










