Jangan buat spekulasi kematian Zara Qairina

Jangan buat spekulasi kematian Zara Qairina

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Orang ramai diseru agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pemergian murid perempuan, Zara Qairina, 13, yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustafa Limauan, Sabah, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini bagi menghormati hak keluarga mangsa serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan siasatan secara menyeluruh.

Katanya, sebarang andaian atau kenyataan yang tidak berasas bukan sahaja boleh mengganggu siasatan, malah menjejaskan emosi keluarga yang sedang berduka.

“Saya menyeru masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi pada waktu ini yang mungkin boleh mengganggu siasatan. Hormati privasi keluarga dan beri ruang sepenuhnya kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Fadhlina, beliau bersama pengurusan tertinggi kementerian menziarahi keluarga mangsa di hospital bagi memastikan semua keperluan disediakan dan kebajikan keluarga itu terpelihara.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah turut menyalurkan bantuan segera kepada keluarga termasuk dalam aspek sokongan psikososial.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga atas pemergian Zara Qairina dan mendoakan agar mereka dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian berat ini.

Tambahnya, kementerian akan terus memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai insiden melibatkan seorang pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Agama Tun Datu Mustafa, Limauan, Sabah yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan pada Rabu lalu. 

Mangsa disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN