PETALING JAYA: Hasrat beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing untuk melangkah lebih jauh dalam Terbuka China tidak kesampaian apabila terkandas di suku akhir, hari ini.
Pasangan No. 22 dunia itu tewas kepada gandingan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 7-21, 15-21 dalam pertarungan selama 34 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Ini merupakan penampilan pertama Pei Kee-Mei Xing di suku akhir kejohanan berstatus Super 1000 biarpun akhirnya ditundukkan pasangan No. 7 dunia dari China itu.
Semalam, pada aksi pusingan kedua, Pei Kee-Mei Xing mengejutkan beregu No. 8 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun 26-24, 7-21, 21-18 dalam masa 1 jam 3 minit.
Kedua-dua beregu itu belum pernah bertembung dalam mana-mana kejohanan antarabangsa dan kemenangan Pei Kee-Mei Xing menyaksikan mereka kini memegang rekod pertemuan 1-0 ke atas Iwanaga-Nakanishi.
Ini merupakan suku akhir keempat buat Pei Kee-Mei Xing musim ini selepas turut mara ke Indonesia Masters, Terbuka Jerman dan Orleans Masters secara berturut-turut.
Mereka seterusnya akan meneruskan kempen ke Terbuka Macau dengan menentang pasangan No. 27 dunia dari Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan pada aksi pembukaan minggu depan. – UTUSAN