MACHANG: Tindakan terhadap penjawat awam khususnya yang menyertai Perhimpunan Turun Anwar di ibu negara hari ini diserahkan kepada ketua jabatan masing-masing untuk menentukannya.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, sebelum ini pihaknya sudah menjelaskan bahawa berhimpun atau menyuarakan pendapat itu ada batasnya.
“Jika ada penjawat awam yang dikenal pasti menyertai perhimpunan itu, ia terpulang kepada ketua jabatan masing-masing untuk ambil tindakan.
“Lagi pun kita telah pun mengeluarkan kenyataan media baru-baru ini berkait dengan tanggungjawab penjawat awam untuk tidak menyertai perhimpunan ini kerana ia melanggar peraturan disiplin,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Peluncuran Program Santuni MADANI Jabatan Peguam Negara 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyumbang Smart TV dan wang tunai sebanyak RM3,000 kepada SK Pulai Chondong.
Mohd. Dusuki berkata, penjawat awam sepatutnya menunjukkan contoh yang baik atau teladan yang baik kepada negara.
Beliau berpendapat, penglibatan perhimpunan pegawai awam tersebut tidak memberi manfaat.
“Saya percaya hal ini pun disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak menyekat perhimpunan kerana kebebasan dan hak individu ada batasnya ,” katanya. – UTUSAN










