SAMRAONG, Kemboja: Thailand dan Kemboja terus bertempur untuk hari ketiga pada Sabtu, apabila angka kematian akibat pertempuran paling berdarah dalam beberapa tahun meningkat kepada 33 orang, dan Phnom Penh menyeru “gencatan senjata serta-merta.”
Pertikaian sempadan yang telah berlarutan sekian lama itu meletus kepada konflik bersenjata hebat sejak Khamis, melibatkan jet pejuang, artileri berat, kereta kebal dan tentera darat, sehingga mendorong Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar pada Jumaat.
Kementerian Pertahanan Kemboja mengesahkan seramai 13 orang terbunuh, termasuk lapan orang awam dan lima anggota tentera, manakala 71 lagi cedera.
Di Thailand, pihak tentera memaklumkan lima askar terbunuh pada Jumaat, menjadikan jumlah korban negara itu meningkat kepada 20 orang terdiri daripada 14 orang awam dan enam anggota tentera.
Angka korban gabungan kedua-dua negara kini melebihi 28 orang yang terbunuh dalam siri pertempuran besar terakhir antara 2008 hingga 2011.
Kedua-dua pihak melaporkan pertempuran berlaku sekitar pukul 5:00 pagi dengan Kemboja menuduh tentera Thailand melepaskan “lima peluru artileri berat” ke kawasan di wilayah Pursat, yang bersempadan dengan wilayah Trat di Thailand.
Pertempuran berterusan itu telah memaksa lebih 138,000 orang dipindahkan dari kawasan sempadan Thailand, manakala lebih 35,000 penduduk Kemboja terpaksa meninggalkan kediaman mereka.










