AUSTRIA: Pelumba Ferrari, Lewis Hamilton menggesa pasukannya untuk fokus sepenuhnya kepada pembangunan projek Formula Satu (F1) 2026 sambil menunjukkan bahawa Mercedes sudah pun memberi tumpuan kepada musim depan.
Ferrari menunjukkan peningkatan prestasi di Grand Prix (GP) Austria apabila mereka menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat.
Namun, malang bagi Ferrari apabila mereka masih jauh ketinggalan di belakang McLaren apabila pemandunya, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan hampir 20 saat di belakang juara, Lando Norris.
Ferrari kini ketinggalan 207 mata di belakang McLaren dalam perebutan kejuaraan pengeluar F1.
“Kalau dibandingkan dengan McLaren, saya rasa tiada siapa boleh mengejar mereka. Tapi jangan pernah kata mustahil. Mudah-mudahan dengan naik taraf seterusnya… harap-harap ia berfungsi seperti yang kami harapkan.
“Mungkin itu akan membawa kami lebih dekat. Kami tidaklah seminit ketinggalan hujung minggu lalu,” kata Hamilton.
Tahun 2026 akan menyaksikan perubahan besar dalam peraturan teknikal bagi enjin dan juga casis.
Unit kuasa akan dijalankan menggunakan bahan api lestari dan akan menjadi lebih berasaskan elektrik manakala kereta pula akan mempunyai daya turun yang kurang dan saiz yang sedikit lebih kecil.
Memandangkan kedua-dua kejuaraan F1 tahun ini kelihatan sangat sukar untuk dicapai, Hamilton mahu Ferrari mengalihkan fokus sepenuhnya kepada 2026 seperti yang telah dilakukan oleh bekas pasukannya, Mercedes.
“Kita sepatutnya beri tumpuan penuh dalam pembangunan kereta tahun depan. Saya pasti semua pasukan sudah pun melakukan itu. Saya tahu Mercedes sudah pun tumpu kepada tahun depan. Kuncinya ialah membangunkan enjin yang betul,” katanya. – AGENSI