Tak jadi jutawan

Tak jadi jutawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA kisah ini setelah dia berasakan terlalu susah untuk hidup tanpa wang. Dia benar-benar rasa kesempitan sementara menunggu hari gaji. Dengan beberapa keping duit syiling dan beberapa helai duit seringgit yang tinggal, mana mungkin dia dapat beli ikan dan sayur untuk besok, lusa, tulat, dan langkat. Lima hari lagi baru dia dapat gaji. Keadaan akan bertambah parah jika dia terpaksa mengisi petrol untuk motosikal kapcainya nanti. Duit jajan anak-anak ke sekolah lagi. Lebih teruk kalau tiba-tiba sesuatu berlaku dan dia sekeluarga terpaksa balik kampung.

Dia tidak sanggup menatap wajah isterinya nanti jika diminta pergi ke pasar untuk beli barang keperluan dapur. Hendak pergi macam mana jika untuk beli lima biji telur ayam pun dia takut tak cukup wang. Kalau ada beberapa biji telur ayam, boleh juga di pelbagai untuk dijadikan lauk makan nasi.

Kadang-kadang dia rasa terharu apabila melihat wajah isterinya yang semakin cengkung. Dia tidak pasti sama ada wajah itu dimamah usia atau dimamah derita.

Wajah kesayangan itu pernah menjadi wajah kebangaannya dulu kerana raut muka yang lawa dan berisi. Namun kerana sering tidak kecukupan, isterinya kerap stress. Isterinya pernah jual rantai leher. Dapatlah dalam RM500 untuk kelegaan beberapa bulan.

Sekarang nilainya mungkin sudah berlipat kali ganda kerana harga emas memang sentiasa meningkat dari masa ke semasa.

Beberapa bulan kemudian isterinya terpaksa jual gelang emas pula sebagai bekalan meraikan Hari Raya Aidilfitri di kampung. Setiap kali Syawal menjelma kena ada duit lebih di tangan. Kena juga hulur sikit kepada orang tua dan anak buah yang ramai itu.

Mengenang semua itu dia berasa terlalu berat untuk menyatakan kesempitan wang yang sedang dihadapinya sekarang. Tentu isterinya akan berkerut dahi. Lebih baik pinjam duit daripada kawan-kawan.

Dia tahu bahawa isterinya masih ada sedikit simpanan dalam akaun bank, namun maruahnya sebagai suami akan tercalar jika meminjam beberapa ringgit untuk perbelanjaan barang dapur. Malu, tapi dia masih ada cara untuk untuk mengatasi masalah ini; jual balik Sijil Simpanan Bank!

Dia menarik sehelai kertas berukuran 3×7 inci dari celah sebuah novel bertajuk Pelarian karya Abdul Talib Mohd. Hassan.

Buku lama yang kertasnya sudah kekuningan itu tersusun bersama beberapa buah novel lagi di rak buku yang kelihatan sedikit condong.

Terdapat senaskah al-Quran resam Uthmani pemberian seorang ustaz di surau berdekatan, dan senaskah al-Quran beserta terjemahan yang dibelinya sendiri di kedai buku koperasi. Terdapat juga buku agama Keperibadian Muslim jilid 1 dan 2 karya Mohd. Ali Hashimi.

Dia ingat lagi rak buku itu dibuat sendiri oleh kawannya semasa dia masih bujang dan tinggal di rumah bujang. Orang kata barang-barang perabot ini akan mengalami sedikit kerosakan setiap kali berpindah.

Mana tidaknya, setiap kali pindah ia akan diangkut ke atas lori, kemudian diturunkan semula daripada atas lori. Itulah yang berlaku selepas dia berpindah rumah setelah mempunyai seorang isteri.

Dia membelek-belek lagi kertas berukuran 3×7 inci itu.

Kertas itu agak tebal berbanding kertas A4 biasa setebal 80gsm. Berwarna krim lembut kemerah-merahan persis Sijil Pelajaran Malaysia. Ada awan larat di keseluruhan tepinya. Terdapat juga lambang di sudut atas kiri yang tertulis “Bersekutu Bertambah Mutu”.

Di sudut bawah sebelah kanan terdapat simbol bank berkenaan. Yang paling penting adalah tertulis nilai sijil simpanan itu, iaitu RM100. Nilai itu amat besar ertinya dalam keadaan kesempitan seperti ini.

Sudah beberapa kali dalam beberapa tahun ini dia terasa hendak jual balik sijil itu untuk menampung kehidupan.

Namun dia sentiasa menahan diri mengenangkan kalau nombor sijil itu terpilih sebagai pemenang hadiah utama maka selesalah hidupnya.

Sejarah telah membuktikan bahawa seorang penyimpan yang hanya mempunyai sijil simpanan bernilai RM60 telah menang hadiah utama sebuah kereta BMW!

Tidak mustahil dia yang mempunyai sijil simpanan RM100 boleh menang hadiah sejuta seperti yang ditawarkan beberapa tahun kebelakangan ini.

Awal pagi tadi dia terserempak Syamsul rakan sepejabat di Bangunan Pentadbiran. Syamsul sedang melayan telefon bimbit berdekatan sebaris pokok Acalyipha Wilkesiana yang daunnya berbentuk bujur tetapi tirus di hujungnya berwarna bertompok-tompok merah tua dan coklat berdekatan foyer bangunan.

“Syamsul, pinjam duit seratus!” Acahnya sambil berjalan perlahan ke arah tangga untuk naik ke tingkat atas.

“Seratus? Ha ha ha …mana ada duit Nordin! Hujung-hujung bulan ini…” sahut Syamsul ketawa.

Dia tahu Syamsul cuma bergurau. Sebagai pegawai kerani kanan tentu Syamsul ada banyak duit berbanding dia yang hanya kerani biasa.

Bertemu semula Syamsul di ruang pejabat, dia cuba tanya sekali lagi. Kali ini dia serius. “Syamsul, kalau kau bagi aku pinjam duit seratus ringgit, aku bagi kau sijil simpanan ini sebagai cagaran.”

Dia berharap sangat Syamsul tertarik untuk membuat ‘pelaburan’ jangka pendek.

“Pinjam lima hari saja, minggu depan aku bayarlah balik.” Pujuknya lagi. Syamsul membelek-belek sijil simpanan bank yang sudah berada di tangannya.

“Aku hendak buat apa dengan sijil simpanan ini Nordin?” Syamsul membaca dengan teliti segala butiran yang tertera atas helaian kertas bersaiz 3×7 inci itu.

“Nama atas sijil simpanan ini nama kau Nordin, kalau menang kau yang dapat hadiah!”

“Tak! Tak! Aku janji kalau menang, semua hadiah itu kau punya,” katanya cuba memancing.

Dia berani kata begitu kerana yakin tidak akan menang. Sudah 20 tahun dia simpan sijil itu, sekali pun tidak pernah menang! Tidak pernah! Walaupun hadiah sagu hati.

“Manalah tahu kalau-kalau menang sebuah kereta. Kau tak nak rasa kereta baharu?” Pancingnya lagi. Syamsul tersenyum.

Syamsul menyeluk poket belakang seluarnya lalu mengeluarkan dompet duit berwarna hitam. Dua keping lima puluh ringgit dikeluarkan lalu dengan tangan menggigil duit itu dihulur lambat-lambat kepadanya.

Dia hendak tergelak dengan gelagat Syamsul. Dia menyambutnya dengan rasa rendah diri.

Kemudian dengan tangan menggigil-gigil juga dia serahkan sijil simpanan bank kepada Syamsul. Sijil asal bukan photostat. Dia meniru gelagat Syamsul sebenarnya. Lalu mereka berdua tertawa.

“Ketawa, ketawa juga. Nah! Ambil pen dan kertas ini, tulis perjanjian pinjaman, ikut sunnah Nabi. Manalah tahu kalau-kalau kita terlupa walaupun sekejap,” gesa Syamsul

“Mahu tulis apa ya?” Dia mengambil pen berdakwat hitam dan meletakkan kertas putih atas meja.

“Tulis jika sijil simpanan bank ini menang untuk cabutan bulan ini, hadiahnya adalah hak milik Syamsul.” Syamsul letak sijil simpanan atas meja, kalau-kalau ada maklumat yang dia perlukan.

“Tulis sekali nama, tandatangan, dengan Tarikh!” kata Syamsul.

Dia menyerahkan nota itu kepada Syamsul dengan seguris senyuman.

Namun dia mula ragu. Kalau menang hadiah kereta, dia terpaksa serahkan kepada Syamsul bulat-bulat. Kalau lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji. Janji mesti ditepati!

Ah, tapi dia sangat memerlukan duit untuk lima hari ini. Dia boleh sahaja tebus sijil itu di bank, tapi sayang pula jika dilupuskan sijil simpanan yang telah disimpan begitu lama.

Lebih baik serahkan kepada Syamsul buat sementara waktu. Cuma lima hari sahaja. Selepas dapat gaji minggu depan bolehlah pulang duit Syamsul dan simpan semula sijil simpanan itu sebagai kenangan.

Doa sahaja banyak-banyak supaya cabutan bertuah yang akan diadakan pada hari Sabtu ini tidak memilih nombor siri sijil simpanan itu sebagai pemenang.

Pelik sungguh. Selama ini dia berdoa dan berharap terpilih sebagai pemenang, tapi kali ini dia berdoa sebaliknya. Berdoa semoga tidak menang dalam cabutan bertuah itu untuk sekali ini. Sekali ini sahaja!

Kalau setakat menang sagu hati tidak mengapa juga. Janganlah menang hadiah utama Satu Juta Ringgit. Jangan! Kalau menang juga? Kan susah nanti!

Ah! Mana mungkin! Sudah 20 tahun sijil simpanan itu beku begitu sahaja, tak kan kali ini boleh menang? Mustahil!

Tetapi kalau menang juga? Aduh! Kalau begitulah takdirnya dia terpaksa reda dengan ketentuan Ilahi. Nasibnya akan betul-betul seperti Pak Kaduk, ayamnya menang tapi kampungnya tergadai.

Untuk memungkiri janji memang bukan dia orangnya. Seingatnya dia tidak pernah sekali pun mungkir janji.

Dia sudah khatam buku Keperibadian Muslim karangan Dr. Muhammad Ali Al-Hasyimi yang menjelaskan satu daripada sifat Muslim kepada masyarakat ialah menunaikan janji. Tanda-tanda munafik adalah apabila berjanji dia mungkir. Sudah tentu dia tidak mahu jadi orang munafik.

Menjelang hari Sabtu tidak banyak pula barang-barang yang perlu dibeli. Isterinya seperti biasa sibuk memasak di dapur. Mungkin simpanan ikan, ayam, dan sayur-sayuran masih mencukupi dalam peti ais.

Anak-anak pula sibuk dengan hal masing-masing. Dia berasa menyesal pula membuat pertukaran sementara dan janji-janji manis dengan Syamsul.

Hari ini cabutan pemenang sijil simpanan bank akan dibuat di Kuala Lumpur. Dia terus berdoa dan berharap nombor sijil simpanannya tidak terpilih.

Menjelang Ahad dia buru-buru ke kedai untuk membeli akhbar mingguan. Biasanya jika cabutan dibuat pada hari Sabtu, keputusan cabutan sijil simpanan bank akan disiarkan dalam surat khabar Ahad.

Dengan penuh debaran dia menyelak sehelai demi sehelai sehingga terlihat paparan keputusan cabutan sijil simpanan bank semalam.

Matanya terus tertumpu kepada pemenang hadiah jutawan bulan ini. Tidak payah eja pun tahu nama siapa. Nama dia!!! Berdesup terasa darahnya naik ke muka.

Apabila nombor sijil simpanan banknya telah pun terpilih sebagai pemenang, ia tidak akan dipilih lagi sampai bila-bila. Tiada peluang kedua. Ini bermakna, peluangnya untuk jadi jutawan sudah pun berakhir.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×