PETALING JAYA: Gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan, sekali gus menyebabkan sistem pintu automatik (autogate) di beberapa pintu masuk utama negara terjejas sejak semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, siasatan mendapati gangguan itu menyebabkan sistem autogate yang digunakan oleh pelawat asing tidak dapat berfungsi buat masa ini.
Bagaimanapun, sistem autogate bagi pemegang pasport Malaysia tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa.
“AKPS dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang bekerjasama untuk mengenal pasti punca sebenar masalah dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
“Semua kaunter manual telah diaktifkan sepenuhnya dan anggota tambahan dikerahkan untuk menguruskan aliran keluar masuk pelawat serta mengawal barisan menunggu dengan kapasiti terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, terdapat kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.
Menurut AKPS, pihaknya sedang berusaha memulihkan sistem dan melancarkan semula pergerakan di semua pintu masuk negara.
Sebelum ini, masalah gangguan sistem autogate turut dikongsikan pengguna melalui media sosial termasuk ada pihak yang mendakwa terpaksa menunggu lebih satu jam.
Keadaan itu menyebabkan pelawat asing terpaksa beratur panjang sebelum dibenarkan memasuki negara ini. – UTUSAN










