Empat pegawai penguat kuasa disyaki terima rasuah ditahan - Utusan Malaysia

Empat pegawai penguat kuasa disyaki terima rasuah ditahan

IJM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa yang disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 semasa bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor, sempadan Johor-Singapura.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an itu telah ditahan di pejabat SPRM Johor, hari ini.

“Dua suspek utama telah ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter semalam dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM.

“Susulan penahanan tersebut dua lagi pegawai penguat kuasa telah ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan pasport terbang ini,” katanya.

Tambah sumber, semasa penahan dilakukan semalam sebanyak 14 pasport warga asing, empat unit telefon bimbit milik kedua-dua suspek utama dan juga wang rasuah bernilai kira-kira RM3,000 telah ditemui.

“Siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit yang ditemui mempunyai kaitan dengan transaksi rasuah melibatkan kegiatan pasport terbang.

“Bagi setiap satu pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik pasport, kesemua suspek akan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM200,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi (TPO) SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru, esok untuk permohonan reman.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×