LONDON: Anthony Elanga dijangka menjadi pembelian utama pertama Newcastle United dalam jendela perpindahan kali ini selepas dilaporkan mencapai persetujuan bernilai £55 juta (RM317 juta) dengan Nottingham Forest.
Laporan The Athletic, BBC dan Sky Sports mengesahkan bahawa pemain sayap Sweden itu bakal melengkapkan perpindahan ke St James’ Park dalam masa terdekat.
Elanga menyerlah bersama Forest musim lalu dengan enam jaringan dan 11 bantuan gol, membantu kelab itu menamatkan saingan di tangga ketujuh liga secara mengejut.
Forest hanya membayar £15 juta (RM86 juta) untuk mendapatkan Elanga dari Manchester United dua tahun lalu, menjadikan perpindahan ini pulangan besar buat kelab itu.
Newcastle ketika ini sedang memperkukuh skuad untuk kempen Liga Juara-Juara musim depan, namun berdepan kekangan daripada peraturan kewangan.
Meskipun disokong dana kekayaan negara Arab Saudi, The Magpies masih perlu berhati-hati dalam perbelanjaan bagi mematuhi garis panduan kelestarian kewangan.
Kemenangan Piala Liga musim lalu menjadi pencetus kepada misi mereka untuk kembali meletakkan nama dalam kelompok elit bola sepak Eropah.
Elanga dijangka mengisi peranan penting dalam barisan serangan Newcastle kendalian Eddie Howe musim depan. – AGENSI